Sunday, June 19, 2016

PRK Kembar: Yang Untung Yang Rugi

BN+PAS 2 PH 0

Mohamed Azmin Ali mengistihar secara terbuka menyokong calon Pakatan Harapan dari Amanah hanya selepas 10 hari tempoh kempen berlangsung. Umum beranggapan kelewatan sokongannya itu berkait soal budi. Beliau masih merasakan dirinya terhutang budi kepada PAS walaupon kerusi MB disandangnya adalah jasa Sultan Selangor. Halnya itu beliau tidak sanggup melukakan perasaan Haji Abd Hadi Awang dan pimpinan PAS walaupon mereka berkali-kali melukakan perasaan pimpinan partinya sendiri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Malah tindak tanduk beliau dilihat lebih kepada menjadi Timbalan Hadi dari Dr Wan Azizah. Tidak hairanlah beliau tidak menggerakan jentera negeri membantu memenangkan Amanah-PH. Beliau tidak bersungguh.

Kekalahan PRK kembar harus menjadi peringatan terakhir kepada PH. Kata dua perlu diberi kepada pemain cinta tiga segi dalam PH, buck up or pack up! Tidak perlu lagi ada pemimpin 'versi PAS' dalam PH yang mahu ambil semua dari kiri dan kanan pada masa yang sama tak sanggup atau mampu memberi.

PH harus meninggalkan Dr Mahathir Mohamad dan Deklarasi Rakyatnya (DR) sendirian. Jika PH konsisten dengan Agenda Reformasi ia sudah memadai untuk menarik kembali dan mengekalkan sokongan pengundi. Komposisi agenda Reformasi itu sendiri lebih luas dan besar dari DR, menukar sistem yang rosak tidak akan berjaya sekadar menukar Mohd Najib Abd Razak. Kerisauan Anwar Ibrahim mengenai DR kini terbukti benarnya. Pembangkang menjadi semakin lemah dan jurang perselisihan makin membesar. Kenyataan bercanggahan di antara pemimpin PH jelas membuktikannya.

Kenyataan Najib bahawa sokongan Dr Mahathir ke atas pembangkang memberi kelebihan kepada BN ada asasnya. PRK kembar adalah bukti. Penyokong tegar murka dengan sebahagian pemimpin PH yang mula melupai kezaliman mantan PM itu di era pemerintahannya. Kesannya mereka memberi kemenangan kepada calon BN dengan memulau hari mengundi.

Menjadikan Dr Mahathir ayam tambatan kempen PH adalah strategi yang sangat salah. Beliau kini musuh bangsa dan agama selepas sanggup sepentas bersama DAP. Masih ramai bangsa Melayu alergik kepada parti anak beranak Lim.

DAP perlu belajar berlembut. Kerana terlalu keras terpacak atas nama demokrasi sokongan rakyat kepada PH mulai menyusut (rujuk keputusan PRN Sarawak dan PRK) khususnya kerusi-kerusi campuran. Membuat kenyataan umum sambut kemenangan Amanah (calon Melayu beragama Islam) dengan meminum arak adalah sangat salah dan menampakkan kerasnya DAP. Keras mengiakan tuduhan regim parti dominasi Cina itu terlalu dominan dalam PH. Tidak hairan jika pengundi percaya Amanah hanyalah barua DAP. Jika Amanah tidak dilihat independent PH jangan bermimpi menawan Putrajaya.

Tanpa PAS PH masih mampu menawan Putrajaya. Syaratnya kembali kepada Agenda Reformasi dan menjadikan ia satu-satunya matlamat dan perjuangan. Terlalu banyak agenda dan terlalu banyak strategi memeningkan dan memualkan pengundi. Belajar dan bergeraklah dari kaedah dan strategi Anwar Ibrahim berkempen ketika PRU12 dan PRU13. Hanya dengan Agenda Reformasinya memadai menyatukan pembangkang dan mengegar hati sanubari rakyat. Jangan lagi berbolak balik.

Strategi Jahanam

Selagi Mohd Najib Abd Razak di kerusi kuasa regim akan terus mengamalkan strategi 3 jahanam dan Malaysia tidak berupaya menukar kerajaan serta merawat barah politiknya.

Strategi jahanam utama regim ialah pemberian dedak. Amalan dedak (baca rasuah) BUKAN lagi suatu kesalahan dan dosa di negara ini. Dari penjawat awam hingga ke Lembaga Pengarah entiti berkaitan kerajaan, dari kuli hingga ke Menteri, tidak kira di pendalaman atau metropolitan, memberi dan menerima dedak disamakan sebagai rezqi Tuhan. Ada ilmuan agama memanipulasi ayat Allah dan hadith Pesuruh Allah untuk menghalalkan dedak sebagai satu bentuk bantuan.

Regim mewujudkan cukai-cukai baharu dan undang-undang draconian dengan tujuan menekan dan menakutkan rakyat. Kehidupan rakyat menjadi payah dan susah. Dengan pemberian segala dedak 1Malaysia mampu meringankan sedikit kesusahan rakyat untuk jangka masa pendek, sekalipon kaedahnya seperti feudal purba bilamana rakyat dipaksa menyembah Firaun untuk mendapatkan hak mereka. Dan datang pilihanraya regim menabur lagi dedak secara terang. Bagi sebahagian besar yang terdesak nilai MYR50-100 mencukupi membeli undi mereka. Dan regim terus menang pilihanraya.

Strategi jahanam kedua ialah pecah dan perintah. Memenjarakan Anwar Ibrahim satu kejayaan besar mereka, PR berpecah dan musnah. Regim berjaya masuk dan membina sarang dalam PAS serta merekrut pemimpin parti itu sebagai comrade menghancurkan pakatan pembangkang. Pakatan yang berpecah adalah pakatan yang lemah, ia mudah diserang dan dijatuhkan.

PRU13 dan PRK adalah bukti natijah penyatuan dan perpecahan pembangkang. Bersatu mereka mengumpul 52% sokongan rakyat dan mempertahankan tiga negeri. Berpecah menjadikan sebahagian mereka agen regim. Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah contoh bagaimana kerja-kerja fitnah dan cemuh cela ke atas PH di outsourced kepada agen baharu regim, PAS. Selain menampakkan pemimpin dan calon regim lebih mulia berbanding calon PAS dan Amanah kerana mengelak sifat nista ketika berkempen khususnya di bulan Ramadhan, ia juga mampu mengalih isu pokok yakni penyalahgunaan kuasa dari perbualan harian.

PH terjerat perangkap moral regim dan terikut budaya tidak professional PAS. Saling mencemuh dan menjatuhkan satu sama lain terutamanya dalam soal remeh temeh menampakkan ketidakmatangan. Pengundi Cina tidak suka ketidakmatangan. Maka berlaku good swing sokongan kaum itu kepada regim.

Strategi jahanam ketiga ialah senjata perkauman. Dengan melabel dan menuduh DAP sebagai anti Melayu dan anti Islam berjaya mewujudkan politik kebencian dan permusuhan. Ia bukan hanya menjatuhkan DAP malah mengheret mana-mana pemimpin yang bekerjasama dengannya termasuk Dr Mahathir. Cina DAP lebih kafir dari Cina MCA dan Gerakan. Cina DAP adalah kafir harbi yang mana darah mereka halal diqorbankan (rujukan fatwa Mufti Pahang). Sekutu DAP adalah sekutu kejahatan.

Jika dahulu regim melakukan secara terang-terangan melalui media, kini mereka kembali old fashion menyelinap masuk ke dalam setiap kampung dan bandar secara underground. Mereka ke sekolah dan universiti, rumah ibadat dan kebajikan, pusat riadah, sukan dan komuniti, pasar awam dan pasaraya, terminal dan perhentian awam, malah majlis kerajaan tempatan negeri-negeri dikuasai PH menyebarkan api perkauman. Dan mereka tidak keseorangan melakukannya. PAS selepas kematian Almarhum TG Nik Abd Aziz Nik Mat, menjadi serasis regim berkongsi alat propaganda serupa dan senada. Dengan meningkatkan ketegangan kaum dan agama dapat membantu mereka meraih sokongan khususnya daripada bangsa Melayu yang kurang pendedahan.

Di Malaysia terdapat ramai golongan kurang berilmu dan pendedahan maka isu kaum dan agama paling cepat menyentuh hati mereka. Selagi politik berteraskan kaum hidup selagi itu bangsa Malaysia berpecah belah dan selagi itu mereka di kerusi kuasa kekal beroleh laba. Yang untung regim, yang musnah negara.

No comments:

Post a Comment