Sunday, May 15, 2016

PRK 3 Penjuru

Semasa perjumpaan program Selamatkan Malaysia semalam Dr Mahathir Mohamad meluahkan harapan berlaku pertembungan 1 lawan 1 di antara kerajaan dan pembangkang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, sekalipon yang bertanding adalah PAS.

Dr Mahathir berhujah dari perspektif seorang bekas pemimpin UMNO yang menentang Mohd Najib Abd Razak dan bekas partinya. Matlamat beliau ialah berlakunya keputusan yang mengaibkan Najib. Harapan Dr Mahathir mampu menjadi kenyataan sekiranya pertandingan 2 penjuru berlaku DAN penyokong Pakatan Harapan merelakan undi mereka ke calon PAS.

Dari perspektif pendokong PH, memberi laluan PAS bertanding samalah seperti mengaku kalah dan menunjukkan ketiada-upayaan merampas Putrajaya PRU akan datang. PAS terang-terang menolak kerjasama dengan PH. Hari ini Haji Abd Hadi Awang mengulangi pendirian akan ke 'medan perang' bersendirian dan tidak memerlukan sokongan PH. Kesombongan dan keangkuhan golongan ini sudah tidak boleh diperbetulkan.

Asas apa PH perlu memberi laluan untuk PAS bertanding? Apa keperluan penyokong PH dan BN yang kecewa mengundi calon PAS? Bukankah Hadi dan geng Talibannya mengaku tidak mahu merampas kuasa UMNO sebaliknya sekadar mahu menjadi penasihat kepada kerajaan? Jadi bagaimana memenangkan PAS akan memberi manfaat dan menjayakan usaha menjatuhkan Regim Najib? Dan sekiranya berlaku pertandingan 2 penjuru, tanpa undi penyokong PH adakah PAS akan berjaya mengalahkan BN khususnya di Sungai Besar Selangor di mana pengaruh DAP sangat kuat?

Samada 2 atau 3 penjuru, PAS masuk bertanding hanya akan memenangkan BN. Dan menang atau kalah PAS tetap untung. Senjata 3 penjuru memberi PAS habuan dan manfaat. Tidak menang kerusi Parlimen PAS tetap dapat sertai kerajaan Najib. Jawatan di luar parti disandang Murshidul Am dan bekas Timbalan Presiden adalah contoh.

Pengundi harus menolak parti dan pemimpin yang mengambil kesempatan di atas kepincangan kerajaan dan pembangkang, apatah lagi jika menggunakan agama untuk menghalalkan strategi mereka. PH pula tidak boleh memberi laluan kepada parti yang membunuh Pakatan Rakyat dan kepercayaan 52% pengundi PRU13. Jika PH masih berlembut, pakatan ini akan tersungkur parah pada PRU14.

Dalam kes PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, pertembungan 3 penjuru PH-BN-PAS jalan terbaik.

No comments:

Post a Comment