Sunday, May 8, 2016

Teladan

Pakatan Harapan (PH) terbentuk selepas Pakatan Rakyat (PR) terkubur. PR adalah pakatan longgar di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Parti Islam seMalaysia (PAS). PR dibentuk secara rasmi pada 1 April 2008 selepas kerjasama pilihanraya PRU12 di antara parti-parti pembangkang berjaya:

(1) menidakkan kuasa majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Parlimen
(2) merampas Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor selain mengekalkan Kelantan
(3) memaksa Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Perdana Menteri

Kejayaan besar terhasil apabila parti-parti pembangkang bersatu dan mewujudkan pertandingan dua penjuru dalam pilihanraya. Penyatuan mereka digerakkan oleh Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri era Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin utama pembangkang yang dibebaskan dari tuduhan salahguna kuasa tahun 2006. Kemenangan luar jangka itu menyedarkan pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PAS bahawa untuk menumbangkan BN mereka mesti bersatu di bawah satu matlamat dan bergerak sebagai satu pasukan. Dari situ lahirlah kerjasama politik terbaharu dalam blok pembangkang selepas kegagalan Barisan Alternatif.

Tidak seperti BN yang mempunyai struktur kukuh dan diketuai Pengerusi gabungan, PR berfungsi dalam struktur longgar dan dikepalai Majlis Presiden. Majlis Presiden dianggotai pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti. Tiada mana-mana anggotanya lebih dominan atau berkuasa veto dalam struktur kerjasama. Kaedah membuat keputusan bergantung pada undian majoriti.

Kerjasama antara PKR, DAP dan PAS agak unik. Matlamat utama mereka adalah untuk menumbangkan BN dalam PRU. Adapon PR mewujudkan Buku Jingga yang menjadi teras tawaran kepada rakyat sekiranya diberi mandat memerintah Persekutuan, namun rata-rata kandungannya bersifat jangka pendek dan terlalu idealistik. Ia counter offer kepada apa yang diberikan BN. Umum menyandarkan perbandingan BN yang telah memerintah lebih 50 tahun masih gagal melaksanakannya, mereka skeptik PR memiliki kemampuan lebih baik dari itu.

Skeptik rakyat ada asasnya. BN dianggotai parti-parti Semenanjung dan Borneo. Asas perjuangan parti-parti dalam BN lebih kepada perkauman. Namun bila mereka bersatu sebagai satu gabungan mereka mengangkat agenda nasional seperti perpaduan dan kemakmuran ekonomi sebagai keutamaan. Malah mereka rukun dan taat kepada seorang ketua. Manakala PR dianggotai parti-parti nasional Semenanjung sahaja. Asas perjuangan parti-parti PR bercampur antara agenda nasional dan herohanian. Di sinilah timbulnya keunikan PR, yang menjadi ubat dan juga racun kepada kerjasama mereka.

Di mana-mana negara yang terdapat kumpulan agama menyertai politik dan pilihanraya adalah menjadi cabaran mendapatkan kesatuan dan kerjasama mereka dengan kumpulan bukan agama. Ini berlaku di Palestin, Syria, Yaman, Mesir, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Turki, Ireland, India dan Sri Lanka. Pelampau agama menjadikan politik platform mengangkat perjuangan kumpulan mereka. Kebiasaannya kumpulan agama melabel kumpulan yang berbeda matlamat perjuangan dengan mereka sebagai sekular atau liberal. Sejarah mencatatkan kumpulan agama dan sekular-liberal sentiasa menjadi cabaran kepada satu sama lain. Jika pon ada antara kumpulan-kumpulan tersebut yang mampu bekerjasama dan saling menghormati kebarangkaliannya adalah terlalu kecil.

PAS pernah bertelingkah dengan UMNO ketika menganggotai Perikatan dan dengan DAP semasa menanggotai Barisan Alternatif. Asas pertelingkahan mereka tidak lain kerana perbedaan matlamat perjuangan.

Dari awal lagi umum menjangkakan kerjasama parti-parti pembangkang tidak akan kekal lama khususnya di antara DAP dan PAS. Rakyat berserah kepada masa menentukan. Ketidak-rukunan antara mereka mula terserlah selepas PR menguasai Selangor. Pesuruhjaya PAS negeri Dr Hassan Ali diam-diam berunding dengan UMNO untuk menubuhkan kerajaan negeri, berlaku dalam pengetahuan Presiden parti Haji Abd Hadi Awang. Alasan kepada usaha tersebut tidak lain menyalahkan keliberalan PKR dan kesekularan DAP yang bertentangan dengan matlamat Islamik PAS. Terima kasih kepada ketegasan Murshidul Am Almarhum Haji Nik Abd Aziz Nik Mat yang mengambil langkah drastik memecat Hassan dari parti lantas mengagalkan usaha kerjasama PAS-UMNO dan menyelamatkan PR Selangor. Namun agenda kerjasama tidak terhenti di situ.

Kumpulan pro UMNO dalam PAS bergerak underground mengumpulkan sokongan pemimpin akar umbi untuk merealisasikan kerjasama PAS-UMNO. Hujah kumpulan itu terhadap usaha tersebut adalah demi kemashalatan umat Melayu dan Islam di Malaysia, hujah yang sama dijaja UMNO selepas kehilangan undi Melayu pasca pemecatan Anwar tahun 1998 dan kegoyahan BN pasca PRU12.

Nama-nama seperti Nasharuddin Mat Isa, Dr Hassan Ali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki sangat sinonim dengan kumpulan pro UMNO yang kini sangat kebal dalam PAS. Malah mereka juga berjawatan dalam badan atau organisasi yang pro BN. Mereka hilang atau tiada kedudukan dalam struktur kepimpinan parti semasa hayatnya Nik Abd Aziz yang menyedari kecendorongan mereka itu. Usaha kerjasama PAS-UMNO lumpuh di bawah kepimpinan Tuan Guru. Kemangkatannya membolehkan kumpulan itu kembali aktif bergerak dan agresif mempengaruhi hala tuju parti. Dan semua ini tidak berlaku jika penganti Almarhum dan Presiden tidak merestuinya.

Murshidul Am baharu Haji Haron Din dan Hadi adalah dua individu utama yang menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Malah mereka rela menawarkan jawatan tersebut kepada YM Tengku Razaleigh Hamzah, wakil rakyat dari UMNO sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya pada PRU13. Ia menjadi rahsia terbuka.

Penolakkan Haron dan Hadi ke atas Anwar turut melibatkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sekeluarga. Selepas Anwar disabitkan kesalahan jenayah liwat dan diheret ke Sungai Buloh awal tahun 2015 jawatan wakil rakyat terlucut dengan sendirinya. Kerusi Permatang Pauh yang dikosongkannya kali kedua ditandingi oleh Dr Wan Azizah, juga buat kali kedua. Semasa kempen PR di Permatang Pauh PAS pusat tidak turun membantu malah jawatankuasa PAS kawasan memulau dan mengugut mengundi calon BN demi mengagalkan Dr Wan Azizah kembali ke Parlimen. Ia balasan kepada keakraban PKR dengan DAP. Namun Dr Wan Azizah menang dengan majoriti selesa. Ini memperlihatkan walaupon pemimpin menolak Dr Wan Azizah, pengundi khususnya di DUN kubu kuat PAS memilih menghindari politik jumud.

Mereka berdua juga antara punca isu jawatan Menteri Besar Selangor berpanjangan berbulan-bulan. Mereka mengarahkan wakil rakyat PAS menyokong Abd Khalid Ibrahim kekal di kerusi MB sekalipon menyedari PKR memintanya meletak jawatan kerana sering membelakangkan parti dan membuat keputusan tanpa persetujuan pimpinan. Bahkan pihak Istana juga kurang senang dengan keputusan-keputusan Khalid yang gemar membangunkan projek mewah. Kesungguhan PAS mempertahankan Khalid semakin jelas apabila ADUN mereka bersekongkol memecat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dari PKR dan DAP. Tindakan itu hampir berjaya melumpuhkan PR Selangor dan nyaris membawa kepada pilihanraya negeri.

Selepas PKR memecat Khalid beliau akhirnya mengosongkan kerusi MB. Sultan Selangor mentitahkan parti-parti yang menubuhkan kerajaan mencadangkan penganti Khalid untuk pertimbangan Baginda. PKR dan DAP sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai MB selepas beliau memenangi kerusi Kajang melalui Langkah Kajang, namun PAS mencalonkan nama lain dipercayai salah seorang wakil rakyatnya. Demi memastikan adanya sepakat majoriti Baginda meminta pilihan lain dari ketiga-tiga parti.

PKR dan DAP berpegang dengan pilihan mereka manakala PAS mencalonkan tiga nama dipercayai dua wakil rakyat PAS dan satu wakil rakyat PKR yakni Mohamed Azmin Ali. Ketegasan PKR dan DAP dalam soal calon MB menimbulkan kemurkaan Sultan sehinggakan Baginda tidak mahu menerima mengadap Dr Wan Azizah dan Lim Guan Eng, masing-masing pemimpin tertinggi parti PKR dan DAP. Namun dengan kebijaksanaan Sultan dan demi meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri Baginda berkenan melantik Mohamed Azmin Ali sebagai MB baharu. Penyelesaian isu MB tidak menjernihkan hubungan pemimpin parti-parti dalam PR.

Hudud atau Enakmen Jenayah Syariah Kelantan tidak pernah menjadi sebahagian daripada matlamat bersama PR. Malah ia tidak terkandung dalam Buku Jingga ketika PR merangka dan menggunakannya sebagai bahan kempen ke seluruh Malaysia menjelang PRU13. Keadaan ini memperlihatkan seolah PAS 'kendur' sedikit dalam perjuangannya dan wujudnya kematangan berkompromi. Sikap kendur tersebut disenangi bukan sahaja PKR dan DAP malah pengundi. Ia diterjemah kepada kemenangan besar PAS di Selangor dan Johor berjaya menawan kerusi campuran di bandar dan separa bandar yang sebelum ini tidak pernah dimimpikan untuk menang. Namun apabila ia dibangkitkan oleh Hadi secara senyap melalui Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen ia mencetuskan kemarahan terbuka DAP.

Kemarahan parti sekular itu ada asasnya. Ketika PRU12 dan PRU13 DAP bekerja kuat membantu memenangkan calon PAS di kerusi campuran. Cabaran utama DAP ketika berkempen adalah meyakinkan pengundi bukan Islam yang stereotype terhadap PAS. DAP berjaya menjelaskan bahawa parti Islam itu semakin terbuka dan tidak akan melaksanakan Undang-Undang Islam di negara sekular seperti Malaysia. Ia terbukti apabila peratus undi kaum Cina dan India kepada PAS meningkat hampir 90% di sesetengah saluran mengundi. Namun tindakan Hadi itu memberi pukulan kepada DAP dan menyebabkan pengundi bukan Islam kembali skeptikal terhadap bukan sahaja pemimpinnya, malah kerjasama dalam PR. Reputasi telah tercalar.

Dalam soal hudud yang membawa kepada pertelingkahan terbuka PAS-DAP tidak keterlaluan dikatakan ianya adalah kesilapan kedua-dua pihak. Hudud adalah political mileage Hadi. Selepas gagal mempertahankan Kedah berpunca dari masalah dalaman dan gagal menawan semula Terengganu negeri kelahirannya pada PRU13, Hadi terpaksa melakukan sesuatu untuk menarik kembali sokongan ahli PAS yang mula berubah dan mengalih sokongan ahli UMNO yang kecewa. Hudud juga adalah pedang dua mata Hadi, selain untuk meraih sokongan kepada parti ia menjadi modal beliau kekal di kerusi Presiden sekaligus melemahkan pengaruh Timbalannya Haji Mohd Sabu Mohd. Hudud Hadi dibangkitkan menjelang Muktamar yang ada pemilihan pucuk pimpinan Pusat.

Hadi sedar Rang Undang-Undang Persendirian (Hudud) yang diusulkan belum tentu akan dibahaskan Dewan. Jikapon ia berjaya dibahaskan belum tentu ia akan diluluskan dan dilaksanakan kerana yang menguasai Dewan majoritinya wakil rakyat sekular-liberal. Ternyata ia cuma strategi politik Hadi. Malangnya DAP melompat terlalu awal. Selain malu dicemuh pengundi barangkali DAP merasakan jika strategi Hadi tidak dihalang sokongan Melayu kepada PAS makin bertambah sekaligus membataskan peluang DAP menguasai kerusi campuran Melayu pada PRU14. DAP tidak sanggup tunggu sehingga mesyuarat agihan kerusi.

Muktamar 2015 memperjelaskan kepada umum kaedah sebenar bertahaluf PAS dengan PKR dan DAP. Selepas mengundi menendang keluar keseluruhan pemimpin parti yang pro PR termasuk Mat Sabu, Haji Sallahuddin Ayub, Haji Husam Musa, Haji Mahfuz Omar dan Dr Mujahid Yusof Rawa, barisan kepimpinan baharu PAS memilih memutuskan hubungan dengan DAP hanya kerana DAP menentang cadangan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang tidak pernah menjadi matlamat bersama PR.

Memilih memutuskan hubungan dengan DAP bererti memutuskan perjanjian dasar di antara mereka. PR tertubuh di atas kekuatan dan penyatuan ketiga-tiga parti. Jika dua anggota sudah tidak boleh bersekutu maka PR tidak mampu berfungsi. Ia turut diakui PKR yang kekal bertahaluf dengan PAS. 16 Jun 2015 Pakatan Rakyat terkubur.

Cukup dengan menyorot isu-isu di atas ramai pemerhati menyimpulkan perkara pokok bukanlah sangat kerana perbedaan matlamat perjuangan parti-parti sebaliknya tiadanya kompromi dan hilangnya hormat kepada perbedaan masing-masing. Parti-parti PR tidak mahu tunduk kepada agenda parti lain dan tidak menerima konsep suara majoriti. Mereka bersatu hanya kerana mahu menumbangkan BN dan kesediaan mereka, kerjasama mereka dan tolak ansur mereka hanya dan hanya kerana matlamat yang satu itu.

Insiden PRK Permatang Pauh, isu Langkah Kajang dan kemelut jawatan MB Selangor bukanlah perlanggaran matlamat perjuangan mana-mana parti. Ia lebih kepada faktor peribadi yang didorongi ego, degil dan sombong serta faktor nasihat dan strategi yang salah dalam bekerjasama. Namun ia digambarkan seolah ada pihak telah melakukan kesalahan dan dosa besar. Ini adalah modal politik untuk meraih lebih sokongan dengan mengalih sokongan diterima pihak lain kepadanya. Dalam kes PR, agama telah digunakan untuk manfaat dan kepentingan pihak tertentu dan menjadi punca kegagalan yang besar.

Demi untuk tidak mengecewakan 52% rakyat Malaysia yang menolak Barisan Nasional, pemimpin PKR, DAP dan bekas pemimpin PAS menubuhkan Pakatan Harapan pada 22 September 2015 mengantikan Pakatan Rakyat. Parti Amanah Negara (PAN) mengambil peranan PAS dalam PH. Untuk tidak memanjangkan skeptik dan kecewa rakyat di atas kegagalan PR, PAN awal-awal memberi jaminan bahawa perjuangan mereka adalah negara berkebajikan, konsep yang pernah dipersetujui Tuan Guru. Malah pemimpinnya berani menegaskan hudud belum sesuai dilaksanakan di negara yang mengamalkan undang-undang sekular. Ini memberi kelegaan kepada sebahagian penyokong. Namun sebahagian lagi tidak dapat tidak terus meragui kemampuan pakatan baharu.

Rata-rata penyokong membangkitkan persoalan berikut:

1. Mampukah Pakatan Harapan menjadi alternatif kepada Barisan Nasional, dan menjadi lebih baik daripada mereka?

Selepas pemenjaraan Anwar, rakyat melihat lompong kepimpinan yang ditinggalkannya belum dan sukar terisi. Dari dahulu Dr Wan Azizah dicop sebagai Presiden proksi, pemimpin yang sekadar menerima dan melaksanakan arahan. Beliau tidak mampu membuat keputusan penting atas kapasitinya sebagai Presiden parti. Beliau juga gagal menyatu dan menjinakkan barisan kepimpinan partinya sendiri.

Mentee Anwar MB Azmin pula dilihat kurang aura kepimpinan sekalipon memegang jawatan MB dan sebagai pemimpin nombor 2 parti. Beliau sering menggunakan jalan selamat dan terlalu diplomatik, mewujudkan situasi selesa yang menguntungkannya. Dengan memilih terus bekerjasama dengan PAS Selangor selepas PR terkubur kedudukannya sebagai MB terjamin, sekurang-kurangnya sehingga PRU14.

Kepimpinan PH tidak sesuai diserahkan kepada Lim Guan Eng yang mengetuai parti sekular di dalam pakatan yang terdapat jemaah yang mahukan agenda Islamik. Beliau yang dilabel diktator oleh pemimpin akar umbinya sendiri juga tidak disenangi kebanyakan jemaah PH dan rakyat Malaysia.

Keberkesanan kerjasama parti-parti PH bergantung kepada kaedah mereka berpasukan. Pasukan yang baik dan berjaya dikepalai oleh seorang pemimpin. PH tidak dikepalai seorang pemimpin. Pakatan baharu ini masih mengamalkan kaedah pakatan lama, iaitu Majlis Presiden. Pada dasarnya ia praktikal dan Islamik kerana mengangkat amalan syura dalam jemaah yang pelbagai latar belakang. Namun ia kekurangan pengawasan atau pemantauan kepada keputusan-keputusan dibuat Majlis Presiden. Di sinilah pentingnya peranan seorang ketua.

Organisasi di dalam organisasi tidak dapat mengukuh dan menguatkan struktur umum, sebaliknya menimbulkan lebih banyak cabaran dan kesulitan khususnya ketika PKR, DAP dan PAN terus berbeda matlamat perjuangan. Mengambil jalan selamat belum tentu selamat. Suka atau tidak, PH mesti menyelesaikan isu matlamat dan strategi mereka serta berpegang kepada kesatuan. Mereka perlu lakukannya sekarang. Menangguhkannya sehingga selepas pilihanraya hanya akan merugikan PH di masa hadapan dan sudah pasti mengundang sumpah cela rakyat jika mengulangi kesilapan PR.

2. Mampukah parti-parti dalam Pakatan Harapan mengusahakan titik persamaan di antara mereka?

Selepas PAS disingkirkan dari pakatan, PKR dan DAP bersaing untuk menjadi parti dominan. Masing-masing cuba mengatasi satu sama lain, dengan cara menjatuhkan satu sama lain. Perbalahan terbuka MB Selangor dan KM Pulau Pinang di media berkenaan isu 5 ADUN PKR mengambil pendirian berkecuali dalam pengundian usul ADUN BN di Dewan Negeri Pulau Pinang sangat merimaskan. Tuduh menuduh secara terbuka berkenaan isu pertindihan calon bertanding di 6 DUN pada PRN11 Sarawak pula sangat mengecewakan.

Usia PH belumpon genap setahun pemimpin utamanya sudah mula uzur kemahiran berbincang dan berunding. Sebaliknya mereka mahir menggunakan media, terutamanya lidah musuh, untuk mempertahankan diri dan menyalahkan rakan sendiri. Dalam badan korporat amalan sebegini sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Ia mencemar reputasi organisasi dan mengundang kemurkaan pelabur yang boleh membawa kepada kegagalan dan kerugian.

Adapon mereka kembali ke meja rundingan, sukar untuk mereka mencapai kata sepakat. Dalam isu pembahagian kerusi PRN Sarawak umpamanya, selepas rundingan demi rundingan mereka tetap bertindih di 6 kerusi. Isu pembahagian kerusi mudah di selesaikan bilamana mereka bijak mengukur baju di badan sendiri. Gerak kerja sahaja tidak mencukupi menberi jaminan kemenangan berpihak kepada mereka. Sentimen setempat dan suhu sokongan perlu ditelaah dan diambil perduli. Tidak guna letak calon yang ramai tetapi tiada potensi menang.

Tidak lah sukar sebenarnya parti-parti PH mencari, mengusaha dan menjayakan titik persamaan antara mereka. Namun disebabkan ego, degil dan sombong yang menebal dalam diri mereka lebih gemar menonjolkan perbedaan. Mungkinkah ini berlaku kerana terlalu ramai pemimpin veteran di dalam parti-parti tersebut? Veteran atau dinosur memang terkenal dengan sikap ego. Merehatkan mereka barangkali mampu mengurangkan suhu sombong dalam PH.

Berbincang dan bersegeralah dalam bereksperimentasi dan berkeputusan. Rakyat tidak suka menunggu lama. Lebih lama rakyat menunggu, lebih parah luka di dada. Jangan sampai kayu pon rakyat sanggup undi demi menolak BN dan PH!

No comments:

Post a Comment