Saturday, May 14, 2016

Menguji Pakatan Harapan

Dua negeri di Semenanjung akan mengadakan pilihanraya kecil kerusi Parlimen serentak pada 18 Jun 2016, Kuala Kangsar Perak dan Sungai Besar Selangor. Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (5) manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (4).

Kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu.

Pada PRU13 Allahyarhamah Noriah mewakili BN memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi manakala Allahyarham Wan Mohammad Khair-il mewakili BN memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

Medan Ujian

Berbeda dengan negeri Borneo, pilihanraya di Semenanjung menjadi medan pertembungan dua pakatan iaitu BN dan PR. Semenjak PRU10 parti-parti Semenanjung berusaha mewujudkan pertandingan satu lawan satu. Adapon calon bebas turut bertanding ia tidak memberi impak kerana kebiasaannya mereka gagal mendapat undi minimum. Tumpuan dan pilihan hanya akan diberikan kepada calon BN dan PR.

Dua PRK ini adalah medan terbaik untuk menguji sokongan dan mood pengundi Semenanjung kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pakatan Rakyat (PR) terkubur pada Jun 2015. PH dianggotai PKR, DAP dan parti baharu Parti Amanah Negara (PAN) yang mengantikan PAS.

Belumpon usia genap setahun PH sudah melalui tribulasi pertama semenjak penubuhannya. Cabaran agihan kerusi menjelang PRN11 Sarawak mengheret pemimpin utama PKR dan DAP ke perbalahan terbuka. Pimpinan PKR dan DAP berkeras dengan keputusan kajian masing-masing menyebabkan PH bertanding sesama sendiri di 6 kerusi DUN yang akhirnya memberikan BN kemenangan selesa. Daripada jumlah 82 kerusi, BN merangkul lion share 72 kerusi, DAP bertahan 7 kerusi manakala PKR kekal 3 kerusi. PH terlepas peluang merangkul 7 kerusi tambahan selain mempertahankan 15 sedia ada. DAP paling terkesan kerana kehilangan 5 kerusi kubu kepada BN.

Selain ketiadaan tunggak utama Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, faktor perbalahan terbuka dan kegagalan berkompromi adalah punca PH mencatatkan keputusan mengecewakan pada PRN Sarawak. Rakyat Sarawak khususnya kaum Cina di bandar rimas dengan ketidak-rukunan PKR dan DAP negeri semenjak PRU13. Sungguhpon sosok Adenan Satem dikatakan punca peningkatan sokongan rakyat kepada BN namun penganalisis menjangkakan BN mampu memenangi maksima 60 kerusi sekiranya PH bersatu dan bergerak sepasukan. Kegagalan di Sarawak adalah satu pengajaran besar buat PKR dan DAP.

PH harus menyelesaikan pertikaian kerusi di meja rundingan dari awal. Memandangkan PAN mengambil alih peranan PAS dalam pakatan baharu maka kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini layaklah diberikan kepada PAN. Tidak perlulah dipersoal kemampuan PAN dalam pilihanraya kerana jika PKR dan DAP menerima PAN sebagai penganti PAS maka seharusnya mereka bersangka baik dan menerima kelebihan dan kekurangan PAN sebagai parti termuda. PRK adalah medan terbaik menguji pengaruh PAN.

Mengapa kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak perlu ditandingi PKR? Kemelut pertindihan 6 kerusi di Sarawak telah memalit arang yang tebal ke wajah PKR dan DAP. Sekiranya PKR bertegas untuk bertanding maka ia mengiakan tuduhan musuh bahawa pemimpin PKR bersikap opportunis. Dalam politik, opportunis bukanlah gelaran yang baik. Ia merujuk kesanggupan memijak rakan sendiri untuk naik ke atas. Di sini DAP menunjukkan teladan dengan mengistihar tidak merebut mana-mana kerusi tersebut, sungguhpon pengaruhnya di DUN Sekincan Parlimen Sungai Besar sangat besar.

PAS yang kini membentuk pakatan baharu bersama IKATAN bertegas akan meletakkan calon bertanding maka pertembungan 3 penjuru tidak dapat dielakkan. PAS telah menolak cadangan kerjasama dengan PH maka eloklah parti-parti PH khususnya PKR memberi fokus kepada pakatan baharu dan membantu memenangkan PAN.

Ada baiknya berlaku pertembungan 3 penjuru. Keputusannya nanti bakal menunjukkan parti mana di antara dua pakatan pembangkang PKR-DAP-PAN dan PAS-IKATAN yang disukai dan dipercayai pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Parti yang menang mengesahkan kelayakkannya bertanding manakala parti yang kalah hendaknya sadar diri dan memberi laluan kepada yang berhak pada PRU akan datang.

Begitu juga andai kedua-duanya kalah parti yang memperolehi lebih banyak undi di antara PAN dan PAS mengesahkan kelayakkannya bertanding dan yang mendapat kurang bawalah berundur pada PRU akan datang.  Tiada mana-mana parti yang rugi dari kekalahan ini melainkan undi yang diterima mereka terlalu sedikit (kurang 1/8 dari keseluruhan undi) sehingga menghanguskan deposit.

Kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar disandang UMNO. Andai UMNO memenangi semula kerusi-kerusi tersebut ia tidak merubah komposisi Dewan Rakyat. Malah kemenangan itu menjadi satu musibah kepada Mohd Najib Abd Razak kerana sudah pasti jumlah undi dipunggut calon BN kali ini yang terburuk dibandingkan 3-4 pilihanraya terdahulu di kawasan tersebut. Ia indikator penolakkan rakyat terhadapnya. Dan kemenangan BN tidak lain semata-mata kerana pecahan undi pembangkang, maka Najib-BN tiada asas untuk bergembira dan berbangga.

Bergerak Tanpa PAS

Selepas tragedi Jun yang membawa kepada kematian Pakatan Rakyat, PKR, DAP dan PAN harus segera melupakan sejarah silam serta bangkit dan bergerak maju ke hadapan. Mereka mesti belajar dari kesilapan lalu dan mengelak ianya berulang. PAS telah membuktikan ia sebuah parti yang tidak mudah berurusan dan tidak tulus dalam bekerjasama. PAS telah membelakangi dan memusuhi rakan PR beberapa kali sepanjang bertahaluf.

1. PAS cuba bekerjasama dengan UMNO di Selangor menubuhkan kerajaan negeri, membelakangi mandat rakyat dan tahaluf dengan PKR-DAP pasca PRU12

2. PAS meletakkan 7 calon bertindih sekaligus mewujudkan pertandingan 3 penjuru dengan PKR pada PRU13. PKR kalah semua kerusi, BN menang bergaya

3. PAS memilih YM Tengku Razaleigh Hamzah wakil rakyat UMNO calon Perdana Menteri andai PR berjaya ke Putrajaya pada PRU13, membelakangi keputusan majoriti yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

4. PAS bersekongkol dengan Abd Khalid Ibrahim memecat EXCO PKR dan DAP, menyebabkan PR Selangor hampir lumpuh dan PRN nyaris berlaku

5. PAS menyebabkan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor berpanjangan apabila menentang Dr Wan Azizah Wan Ibrahim yang dipilih majoriti PKR dan DAP sebagai penganti

6. PAS memulau PRK Permatang Pauh dan Kajang yang ditandingi PKR

7. PAS mengheret Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke mahkamah kerana tidak berpuas hati dilucutkan jawatan ahli Majlis dan JKKK selepas mereka memutuskan hubungan dengan DAP

8. PAS meletakkan 3 calon bertindih sekaligus mewujudkan pertandingan 3 penjuru dengan PKR pada PRN Sarawak. PKR kalah semua kerusi, BN menang bergaya

PAS juga sering mengambil pendekatan bercelaru dan melaksanakan strategi mengelirukan. Beberapa tindakan pemimpinnya membuktikan PAS tidak sesuai dijadikan rakan kerjasama.

1. Haji Abd Hadi Awang menghina Dr Wan Azizah Wan Ibrahim sebagai tidak pandai berbahas dan tidak tahu bekerja di dalam Dewan Rakyat. Tuduhan itu untuk menguatkan hujahnya Dr Wan Azizah tidak layak menjawat kerusi MB Selangor. Namun dalam masa yang sama beliau sendiri selalu tidak hadir ke Persidangan Dewan malah hansad  menunjukkan penglibatan beliau dalam perdebatan penting sangat minimal

2. Haji Abd Hadi Awang menegaskan PAS tidak kemaruk kuasa dan tidak akan merampas kuasa UMNO. PAS sekadar mahu menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan dan memuji apa yang baik telah kerajaan lakukan kepada rakyat. Namun dalam masa yang sama beliau meletakkan lebih ramai calon PAS pada PRN11 Sarawak malah berkeras untuk bertanding PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Apa logiknya mahu menjadi penasihat kerajaan tetapi bertanding menentang BN? Adakah ini strategi 'menasihati kerajaan' dengan memecahkan undi pembangkang untuk memenangkan calon BN?

3. Haji Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan Putrajaya bukan matlamat PAS sebaliknya mencari keredhaan Tuhan. Jika kuasa dan Putrajaya bukan matlamat PAS mengapa bertanding dalam pilihanraya? Bukankah lebih baik PAS menjadi NGO atau kumpulan tabligh? Memandangkan PAS mahu menjadi penasihat kerajaan adalah lebih baik PAS memohon atau melobi jawatan-jawatan penting dalam Majlis dan Jabatan agama negeri dan persekutuan. Bukankah dengan jawatan dan sumber lebih memudahkan urusan dakwah dan matlamat hudud mereka?

4. Pimpinan PAS menyenangi lantikan Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderate, sebuah badan bukan kerajaan diasaskan Mohd Najib Abd Razak. Mereka juga menyenangi lantikan Haji Haron Din, Murshidul Am sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam, sebuah Majlis kelolaan Jabatan Perdana Menteri

5. Pimpinan PAS tidak lagi bercakap soal hudud atau Enakmen Jenayah Syariah Kelantan. Semasa bersama PKR dan DAP pemimpin PAS sering menjaja hudud adalah matlamat perjuangan mereka sehingga ia menjadi punca perbalahan, perpecahan dan terkuburnya PR. Kerana hudud juga pemimpin utama PAS dari kumpulan profesional disingkirkan secara blok melalui provokasi kumpulan konservatif, yang mengaitkan mereka sebagai barua DAP hanya kerana mereka mengangkat agenda Negara Berkebajikan, bukan hudud

Kecelaruan demi kecelaruan yang terbit dari kenyataan dan tindakan pemimpin PAS kebelakangan ini hanya mengesahkan cakap-cakap umum bahawa parti itu sudah tidak boleh dipercayai. Memberi undi kepada PAS samalah memberi hayat kepada UMNO/BN. Tindak tanduk PAS lewat ini lebih mirip kepada UMNO malah pemimpin PAS lebih cendorong berbaik-baik dengan UMNO berbanding pembangkang lain.

PH harus sedar bahawa PAS berada di dalam kedudukan meraih laba politik dari kepincangan kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang. PAS akan kekal sebegini sehinggalah PH berani memutuskan sebarang kerjasama dengan PAS dan memberi fokus 100% menguatkan parti-parti pembangkang sedia ada. Tiba saat itu warna sebenar PAS akan makin terserlah.

Kini  terpulanglah kepada PH, khususnya PKR untuk mengambil langkah drastik dan berani. Rakyat sedang memerhati dengan dekat gelagat PKR bermain cinta tiga segi. Dalam politik, mengambil jalan selamat tidak semestinya selamat! PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ujian kerukunan dan kekuatan Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment