Wednesday, August 10, 2016

BERSATU Pakatan

BERSATU

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditubuhkan untuk mengajar UMNO. UMNO perlu diajar kerana ramai pemimpinnya terlibat dengan gejala salahguna kuasa, baik di dalam parti mahupon dalam kerajaan. Manakala ramai ahlinya tidak lagi perduli soal moral dan nilai integriti. Satu-satunya cara mengajar parti angkuh lagi tidak amanah adalah dengan politik.

Di Malaysia kaedah berpolitik mesti melalui platform. Dengan adanya platform ia memudahkan perlaksanaan agenda individu atau jemaah tertentu.

UMNO hanya boleh diajar dengan menghilangkan kuasa mereka dan kuasa yang melindungi mereka. Kuasa-kuasa tersebut dapat dihilangkan dengan merampas jawatan (dan akses) UMNO dalam kerajaan. Merampas secara berperlembagaan, demokratik dan halal adalah melalui pilihanraya umum (PRU).

Putrajaya bukan milik UMNO sebaliknya milik negara. Maka hanya rakyat, bukan istana, bukan bangsawan, bukan elitis atau bukan presiden parti, yang berhak menentukan siapa layak menerajuinya. Membuat pilihan adalah hak mutlak rakyat.

BERSATU pada dasarnya mirip UMNO, parti perkauman. Matlamatnya untuk membela kaum Bumiputera pada masa sama menjaga hak kaum lain. Perlembagaan parti menetapkan pemimpinnya terdiri dari kaum Bumiputera, keahliannya juga untuk Bumiputera, dan terdapat kelonggaran membuka penyertaan kaum lain sebagai ahli bersekutu. Jika yang ramai-ramai menganggotai BERSATU adalah Bumiputera maka calon PRU sudah semestinya dari kaum Bumiputera.

BERSATU akan bertanding di kerusi ditandingi UMNO. Kerusi-kerusi ditandingi UMNO adalah kerusi majoriti besar Melayu di mana peluang untuk parti pelbagai kaum seperti PKR dan DAP untuk menang adalah minima. Lantas hanya parti berteraskan Melayu-Bumiputera mampu memikat pengundi Melayu.

Andai calon UMNO tidak dipilih maka calon BERSATU akan menjadi Wakil Rakyat. Dengan memilih calon BERSATU tidak akan mengurang wakil rakyat berbangsa Melayu untuk mewakili Melayu-Bumiputera di DUN dan Parlimen. Yang berkurang cuma opportunis UMNO dalam dewan-dewan pengubal undang-undang Malaysia.

Grand Coalition

Matlamat pembentukan Grand Coalition (GC) atau Pakatan Mega tiada lain untuk mewujudkan pertandingan 1 lawan 1 dengan BN pada PRU. GC sepatutnya membulatkan muafakat semua parti gabungan memasuki gelanggang pilihanraya bukan sekadar untuk mendapatkan semula deposit sebaliknya untuk menewaskan UMNO-BN dengan memenangi semaksima kerusi. Hujah matlamat aqhirat semata-mata dan sebagainya bukan pilihan dan tiada tempat dalam GC.

Pembentukan GC dengan mengabungkan parti-parti politik pelbagai dasar perjuangan bakal berdepan cabaran besar. Cabaran utamanya ialah perebutan kerusi. Tiga PRU terdahulu kerusi-kerusi ditandingi UMNO lawannya adalah PKR atau PAS. Kini politik negara diserikan dengan penampilan AMANAH dan BERSATU, parti serpihan PAS dan UMNO. Apakah AMANAH dan BERSATU akan mendapat restu PKR dan PAS untuk bertanding menentang UMNO di kerusi 'milik' mereka?

PRU14 berbeda dengan PRU terdahulu. Sokongan diraih PKR dan PAS tidak boleh dikira sebagai indikasi kekuatan dan peluang kemenangan mereka secara pukal. Ini kerana mereka bertanding sebagai satu gabungan di samping DAP yang kukuh bekerjasama.

Penyelesaian mudah kepada cabaran kerusi adalah dengan menganalisa graf sokongan Melayu pada PRU dan PRK terdahulu. Kerusi di mana PKR dan PAS telah 2-3 kali kalah secara berturut-turut dan peningkatan sokongan Melayu terhadap mereka tidak melebihi 5-10% berbanding pilihanraya sebelumnya maka sangat afdal mereka menyerahkan kerusi tersebut kepada AMANAH dan BERSATU. Seandainya calon AMANAH dan BERSATU kalah di kerusi tersebut ia menjadikan peluang status quo dan PKR atau PAS tidak kerugian apa-apa. Sebaliknya kekalahan hanya menguatkan bukti kerusi tersebut adalah kubu UMNO yang sukar ditembusi.

Untuk berdepan UMNO ketika senario politik negara menjadi sangat jelak dan jijik seperti hari ini memerlukan pendekatan baharu dan perubahan strategi serta sikap pemimpin pembangkang. Memberi peluang kepada parti 'fresh' yang dipimpin jemaah berpengalaman, berpendidikan, matang lagi bersih adalah satu alternatif yang tidak boleh diabaikan.

Sekiranya PKR dan PAS berkeras mahu bertanding di kerusi di mana peluang kemenangan mereka agak tipis maka kegagalan mereka nanti selayaknya dibebankan ke atas pimpinan parti dan selayaknya dicela dan dihukum rakyat. Keangkuhan dan kesengalan hanya memberikan UMNO laluan mudah mengekalkan kerusi dan Putrajaya.

Perbincangan pembahagian kerusi antara parti gabungan GC harus dimulakan sekarang. Keputusannya perlu dimuktamadkan sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum sidang Parlimen penggal ini berakhir. Kesepakatan awal dapat mendedahkan rakyat parti dan pimpinan mana dalam GC yang resamnya musang berbulu ayam. Dengan kaedah itu GC dapat bersegera menyingkirkan duri-duri dan melakukan penyesuaian serta penyelarasan untuk menumbangkan UMNO-BN.

No comments:

Post a Comment