Tuesday, March 24, 2015

Hudud: PAS vs BN atau PR? (Bahagian 1)

Kemelut yang melanda Pakatan Rakyat khususnya di antara DAP dan PAS bukanlah sesuatu yang menghairankan. Kenyataan dan tindakan kurang bijak pemimpin tertentu kedua-dua parti senior itu sudah boleh di duga. Cuma penyokong tegar mereka yang gagal melihat di luar perspektif perbalahan terbuka tersebut.
 
Apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan 'tumor' yang menjangkiti Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lagi. Tumor itu jugalah menjadi penyebab rakyat kecewa dengan PR. Belumpon reda kekecewaan gagal membentuk kerajaan Persekutuan sekalipon PR meraih majoriti undi popular, percakaran, cemuh mencemuh dan tuding menuding antara pemimpin yang berlarutan dan semakin membarah menambah perit hati pengundi. Rakyat makin muak dengan pertelingkahan umum DAP-PAS-PKR.
 
Tidak dapat lari dari mengaitkan punca utama bermasam muka adalah disebabkan kedegilan dan keegoan pemimpin-pemimpin senior atau dinasor parti gabungan PR.
 
PKR dengan Anwar Ibrahim, PAS dengan Haji Hadi dan Geng Ustaz manakala DAP dengan anak beranak Lim. Tidak boleh dinafikan mereka telah banyak memberi sumbangan kepada kekuatan PR dan demokrasi negara terutamanya Anwar Ibrahim yang menjadi 'glue' kepada DAP dan PAS namun mereka jualah punca keretakkan dan barangkali kemusnahan PR suatu hari nanti.
 
Anwar Ibrahim boleh menarik nafas lega dari dikaitkan dengan kerosakkan yang sedang dan terus melanda PR selepas beliau direhatkan di Istana Sungai Buloh buat kali kedua. Kini jari-jari dan cakap-cakap teralih kepada Haji Hadi dan anak beranak Lim. Degil dan egonya Haji Hadi dan anak beranak Lim bukanlah perkara baharu.
 
Kerana egolah Haji Hadi sentiasa memandang rendah kewibawaan Anwar Ibrahim. Ia bermula semenjak Ketua Umum PKR itu bersama Almarhum Haji Fadhil Noor dalam ABIM lagi. Ego Haji Hadi terbawa sehingga ke hari ini.
 
Haji Hadi merestui rombongan Timbalan Murshidul Am PAS (kini Murshidul Am) merisik Tengku Razaleigh untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya PR menang PRU13 sekalipon pada ketika itu beliau sendiri berarak dan berhimpun bersama-sama pimpinan tertinggi PR mempromosi Anwar Ibrahim sebagai calon PM. Egonya mengundang ketidakpuasan hati pemimpin dan penyokong PKR dan DAP.
 
Haji Hadi merestui secara bersendiri perlantikkan calon pilihanraya PRU13 yang lazimnya dilakukan Setiausaha Agung sekaligus meyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara PKR, PAS dan BN di Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Labuan yang akhirnya memberi kemenangan selesa 0-7 kepada UMNO/BN. Egonya menyemarakkan kemarahan bukan sahaja pemimpin dan penyokong PKR malah penyokong PAS sendiri.
 
Haji Hadi berdegil mempertahankan Almarhum Ustaz Azizan sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah ketika kebanyakkan pemimpin negeri tidak dapat bekerjasama dengan aruah. Kedegilannya mengundang undi mogok dari ahli PAS sendiri sekaligus menyebabkan Kedah kembali ke tangan BN manakala Kelantan kalah undi popular ketika PR meraih 52% di peringkat pusat dan majoriti besar di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
 
Haji Hadi berdegil mempertahankan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor ketika PKR memintanya berundur secara terhormat. Malah selepas PKR mengemuka bukti bertulis salahlaku Khalid Ibrahim, Haji Hadi masih berkeras kepala. Urusan dalaman PKR telah menjadi urusan peribadinya. Ketika PKR dan DAP sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai penganti dan nama Mohamed Azmin disertakan demi memenuhi tuntutan Sultan, Haji Hadi dikhabarkan menghantar tiga nama lain sebagai calon MB baharu. Tidak cukup dengan itu Haji Hadi menguris perasaan Presiden PKR, penyokong serta pengundi dengan menuduh Dr Wan Azizah tidak mahir berbahas (tidak bijak bekerja) sebagai wakil rakyat. Kedegilan dan keegoan Haji Hadi telah sampai ke tahap pengkhianatan. Itulah kemuncak kemarahan ramai terhadapnya.
 
Haji Hadi sedar Langkah-Langkah Bijak nya telah bertukar menjadi Langkah Serba Salah. Punahsihat beliau tidak kurang ‘incompetent’nya berbanding penasihat Najib Razak. Ramai pemimpin dan penyokong PR kecewa dan jauh hati dengan tindak tanduknya, baik sebagai seorang ulama, Presiden parti mahupon Ahli Parlimen. Kekecewaan mereka tidak dapat dibendung lagi apabila ramai tampil mengkritik corak kepimpinannya secara terbuka.
 
Tahun ini Muktamar PAS bakal menyaksikan pertandingan semua jawatan termasuk Presiden. Selepas begitu banyak kerosakkan berlaku Haji Hadi memerlukan ‘booster’ meraih sokongan padu perwakilan untuk kekal di kerusi kuasa. Jalan mudah dan selamat adalah dengan menghidupkan semula Enakmen Jenayah Syariah Kelantan. Sejarah mencatatkan isu hudud sentiasa memberi kelebihan kepada pemimpin yang menjuarainya.
 
Haji Hadi dan penyokong tegarnya yakni Geng Ustaz sedar adalah sukar PAS beroleh sekalipon ‘simple majority’ di Dewan Rakyat yang seterusnya memberi laluan perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. UMNO/BN tidak akan menyokong Rang Undang-Undang Persendirian Haji Hadi. Jikalah benar UMNO/BN mahukan hudud, ianya sudah lama dilulus dan dilaksanakan ketika Imam Islam Hadhari Abdullah Ahmad Badawi menguasai 92% kerusi Parlimen.
 
Hudud bukanlah matlamat sebenar Haji Hadi. Hudud hanyalah senjata politik. Hudud PAS diguna untuk memperlihatkan siapa lebih Islamik dan sudah pasti UMNO/BN berada di kedudukan tidak molek di mata bangsa Melayu beragama Islam tatkala Najib Razak tidak bersama PAS merealisasikan Enakmen tersebut. Malah PKR turut terjerat sama.
 
Tuduhan DAP bahawa PAS termakan umpan UMNO adalah separuh tepat. Memang benar hudud PAS-UMNO telah mewujudkan sengketa dan memecahbelah PR tetapi Langkah Hudud berjaya mengembalikan pengaruh dan maruah Haji Hadi dikalangan ahli dan memperkukuhkan jenama PAS dikalangan pengundi Melayu luar bandar. Samada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan berjaya dilaksanakan atau tidak, Haji Hadi dan Geng Ustaz tetap menang sekalipon kemenangan sementera dan yang kalah adalah UMNO.
 
Dalam politik tiada dua jalan atau pilihan yang menguntungkan. Haji Hadi mungkin beroleh semula pengaruh dan kekal sebagai Presiden tetapi PAS bakal kehilangan sokongan golongan professional dan bukan Islam. Datang PRU14 PAS berkemungkinan besar kehilangan kerusi bandar dan campuran. Malah PAS perlu bekerja keras selama 20-30 tahun lagi untuk mengecapi kegemilangannya seperti sebelum PRU13.
 
Betapa Langkah Hudud telah memberi kelebihan kepada satu pihak dalam masa sama memecah belah keluarga besar PAS dan PR serta rakyat Malaysia yang berharap kepada janji-janji Negara Berkebajikan. Ketepikan parti dan negara, Haji Hadi ternyata lebih bijak dalam perhitungan survival politik berbanding Mohd Najib Abd Razak dan seterunya.
 
Strategi anak beranak Lim sama hebat dengan Haji Hadi. Mereka sedar Enakmen tersebut tidak akan mendapat sokongan UMNO/BN di Parlimen.
 
Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng makin hilang pengaruh kepada pemimpin muda seperti Pengerusi DAP Johor dan Selangor. Demi mengekalkan status Mentor anak beranak Lim perlu menjuarai isu. Maka hudud digunakan.
 
Hudud adalah perjuangan PAS sebelum PR wujud samalah seperti Malaysian Malaysia DAP. Ia adalah matlamat parti. Mana-mana parti pasti akan mengutamakan matlamatnya terlebih dahulu dari matlamat parti lain. Jika DAP boleh berkeras dengan semangat liberalnya begitulah PAS memperjuang roh Islamiknya. Di sini anak beranak Lim dilihat keterlaluan bukan sahaja cuba mencampuri urusan dalaman PAS malah urusan bangsa Melayu dan hal ehwal agama Islam dengan menggunakan alasan nasionalisme dan demokrasi.
 
UMNO disokong Melayu liberal, PAS disokong Melayu konservatif. Yang tinggal untuk DAP hanyalah kaum Cina, India dan Bumiputera Sabah Sarawak yang terpaksa dikongsinya bersama lebih 20 parti perlbagai kaum yang lain, termasuk PKR. Untuk menjadi parti Alpha atau dominan dalam PR DAP perlu membesarkan bukan sahaja jumlah kerusi Parlimennya malah sokongan rakyat Malaysia. Menghadkan kewibawaan PAS mampu mengurangkan pengaruhnya di kalangan bangsa Melayu.
 
Selain itu tentangan terhadap hudud dipertaruhkan anak beranak Lim demi survival parti dan meningkatkan kembali sokongan moral penyokong yang majoritinya kaum Cina beragama Kristian dan Buddha. Ia berjaya mengalih perhatian dan tumpuan terhadap isu sebenar yakni kelemahan mereka di Pulau Pinang dan Selangor.
 
Inilah politik Malaysia. Baik PR mahupon BN, kedua-duanya ada 'rotten apple'. Penyokong parti sebenarnya tiada masalah antara satu sama lain. Yang menimbulkan ketegangan dan perbalahan adalah pemimpin mereka. Benarlah pendapat sesetengah penganalisa politik, dinasor-dinasor baik di pihak BN mahupon PR harus disingkirkan dari persada politik negara demi Malaysia yang lebih baik. Mereka inilah punca kekusutan dan kemarahan yang menekan rakyat Malaysia

No comments:

Post a Comment