Friday, March 27, 2015

Hudud: PAS vs BN atau PR? (Bahagian 2)

Pemimpin DAP dan PAS sedang berlumba-lumba menonjolkan diri. Tidak keterlaluan dikatakan mereka hanya mengambil kesempatan dari kehangatan perdebatan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.
 
Baik Geng Ustaz PAS mahupon CEC DAP sedar Enakmen tersebut tidak akan berjaya dilaksanakan kerana akan gagal meraih sokongan sekalipon simple majority di dalam Dewan Rakyat selepas Haji Hadi membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian nanti. Jadi kenapa dengan segala kekecohan ini? Ringkas cerita, masing-masing ingin memperkukuhkan pengaruh untuk kekal berkuasa.
 
Geng Ustaz mahu menunjukkan kehebatan serta mempertahankan penguasaan mereka ke atas golongan progresif/professional yang semakin mendapat sokongan padu baik dari akar umbi mahupon dari luar parti. Selain dari itu mereka ingin menarik kembali sokongan bangsa Melayu terutamanya dari kawasan luar bandar dengan memperlihatkan mereka lebih dan sentiasa Islamik dari UMNO dan PKR. Sedang sebenarnya merekalah kerap bertindak 'unIslamic' dalam lanskap politik negara lewat ini.
 
Muktamar PAS semakin hampir. Dikhabarkan pemilihan kali ini paling sengit dalam sejarah parti. Keadaan ini berpunca dari sikap ego dan degil Haji Hadi dan Geng Ustaz yang sudah tidak terbendung. Geng Ustaz sedar mereka tiada kekuatan dan kemampuan ilmu dan pengalaman dalam bidang ekonomi, kewangan dan pembangunan maka jenama agama sahaja yang tinggal sebagai tali hayat mereka. Isu apa lagi yang paling cepat menyerap ke hati penyokong dan pengundi Melayu serta menjadi perisai kejatuhan golongan 'pewaris anbia' selain hudud?
 
Beberapa pemimpin senior DAP juga berdepan masalah kemerosotan sokongan. Pemilihan CEC DAP lalu jelas memperlihatkan pemimpin muda makin mendapat tempat, jika tidak masakan Pengerusi DAP Johor mendapat undian tertinggi mengalahkan anak beranak Lim. Jadi bahan apa lagi yang paling cepat menyerap dan menyentap hati penyokong parti liberal itu selain isu agama dan Hudud?
 
Jikalah anak beranak Lim bertindak 'cool' dalam hal Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ini dan memberi lebih fokus dan tenaga membantu PKR memperjuangkan isu utama yang menekan rakyat seperti 1MDB, SRC, GST, harga petrol, kenaikan harga barang, kualiti pendidikan dan lain lain, rakyat pasti lebih menghargai DAP dan penghargaan itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi lebih besar pada PRU14 nanti.
 
Samada PAS berjaya atau tidak melaksanakan Enakmen tersebut PAS tetap menang dalam pencaturan hudud kali ini akan tetapi kemenangan mereka hanyalah sementera. Datang PRU14 rakyat akan mengajar mereka caranya untuk terus mencari keredhaan Tuhan dengan menunjukkan kepada mereka jalan keluar dari politik!
 
Perdulikan permainan PAS-UMNO dalam hal hudud. Biarkan Geng Ustaz terus berangan-angan. Kita tunggu dan lihat. Sekiranya Enakmen tersebut gagal sekali lagi untuk dilaksanakan, maka waktu itu DAP dan PKR boleh 'chin up' mengajar Tuan-Tuan Serban Besar itu akan makna dan tatacara berpolitik!

No comments:

Post a Comment