Sunday, March 8, 2015

Surat Terbuka Buat Naib Presiden. Apa Sebenarnya Tahaluf PAS?

Surat terbuka buat Naib Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man
 
Apa Sebenarnya Tahaluf PAS?
 
Ustaz, bagaimana rakyat hendak menyantuni apalagi menyokong parti yang mempunyai Presiden dan agamawan yang membelakangi janji-janji mereka. Bagaimana rakyat mahu percaya jika lisan mereka berbeza dengan tindakan. Jika kafir harbi yang berkelakuan sedemikian rakyat tidaklah terlalu tertekan dan terkesan. Kita tidak lupa sehingga ke saat ini tiada penafian dari tuan punya badan bersabit perkara berikut:

1. Timbalan Murshidul Am berunding ja
watan PM dengan Tengku Razaleigh sedang dari awal telah dipersetujui Jawatankuasa PAS Pusat dan rakan pimpinan Pakatan Rakyat jawatan tersebut bakal disandang Anwar Ibrahim jika PR memenangi PRU13. Jika tiada sokongan Presiden masakan Timbalan Murshidul Am mampu berbuat demikian. PR belumpon menawan Putrajaya PAS sudah bersekongkol dengan lawan. Tahaluf apakah ini?

2. PAS meletakkan calon bertindih di Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Labuan menyebabkan berlakunya pertandingan 3 penjuru sedang telah disepakati kerusi tersebut milik PKR. Dan disebabkan pertindihan itu PKR gagal menambah kerusi DUN dan Parlimen walaupon mereka berpotensi besar mengalahkan BN. Jika tiada restu Presiden masakan berlaku hal demikian. Tahaluf apakah ini?

3. PAS menuduh secara terbuka calon PKR Dun Terengganu mengedar pil terlarang. Kenyataan ini keluar dari mulut Presiden sendiri tanpa sokongan bukti tetapi ketika perbicaraan kes setahun kemudian beliau menafikannya. Walaupon beliau menang di mahkamah undang-undang tetapi kalah di mahkamah rakyat. Tahaluf apakah ini?
 
4. PAS antara penyebab Langkah Kajang gagal. Telah disepakati kerusi MB Selangor milik PKR sebagaimana Kelantan milik PAS manakala Penang milik DAP. PAS tidak pernah berunding dengan rakan Pakatan Rakyat akan jawatan MB Kedah dan Kelantan kenapa halnya Selangor diperbesarkan? Jika DAP boleh bersetuju kenapa tidak PAS. Jika tiada serangan dari Presiden masakan berlarutan krisis kerusi MB Selangor selama 8 bulan? Tahaluf apakah ini?

5. Serangan terbuka PAS terhadap rumahtangga PKR cukup memualkan. Pergolakkan dalaman PKR bukan urusan PAS. PKR mendapati Abd Khalid Ibrahim telah melanggar perlembagaan dan etika parti, menyuruh beliau meletak jawatan secara terhormat demi menjaga intergriti parti dan Pakatan Rakyat tetapi PAS pula berlagak hero mempertahankan beliau. PKR tidak mencampuri tindakan PAS memecat Pesuruhjaya Negeri yang juga Exco Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini. Kita tahu halnya menantu Presiden berada dalam kerajaan Selangor. Jika tiada sokongan Presiden masakan berlarutan krisis dalaman PKR. Tahaluf apakah ini?
 

6. Telah disepakati tiga rakan Pakatan Dr Wan Azizah dicalonkan sebagai pilihan utama jawatan MB Selangor dan nama Mohamed Azmin disertakan demi memenuhi tuntutan Sultan. Namun dikhabarkan Presiden telah menyerah tiga nama berlainan tanpa berunding dengan Jawatankuasa PAS Pusat. Tahaluf apakah ini?

7. Asas penolakkan terhadap Dr Wan Azizah kerana beliau tidak pandai berbahas (erti kata lain tidak bijak bekerja) sebagai wakil rakyat. Ini merupakan satu penghinaan yang besar bukan sahaja ke atas Presiden sebuah parti malah ahli serta rakyat yang memilih beliau sepanjang penglibatannya dalam politik. Dr Wan Azizah belum pernah lagi kalah dalam mana-mana pilihanraya malah kekal sebagai Presiden semenjak PKR ditubuhkan. Hansad Parlimen jelas menunjukkan wakil rakyat PAS yang mengaku 'ulama' tidak lebih hanya memenuhi ruang Dewan, tiada usul, cadangan dan perbahasan berkaitan kebajikan rakyat dan ketelusan pentadbiran kerajaan Persekutuan. Presiden berjaya menjadi MB Terengganu sepenggal cuma. Di bawah kepimpinannya juga Kedah kembali kepada BN dan Kelantan kalah undi popular. Beliau sendiri pernah kalah dalam pilihanraya. Cakap dan kelaku Presiden dan penyokongnya lewat ini agak angkuh dan sombong. Tahaluf apakah ini?
 
8. Golongan ulama mudah menuduh dan melabel ahli serta pemimpin PAS. Muqtamar tahunan dan Multaqa Ulama lalu cukup membuktikan bagaimana mereka menghalalkan maki memaki, tuduh menuduh serta hina menghina ke atas golongan professional, mengaitkan golongan ini sebagai barua dan anjing Anwar Ibrahim/DAP. Apakah jika seseorang itu bercakap atas dasar dan prinsip demokrasi serta menegakkan hak bersuaranya adalah satu dosa kepada parti? Dan segala teguran dibuat ke atas ulama dan pimpinan hanya melayakkan dan menjadikan mereka barua Anwar Ibrahim/DAP? Apakah para ulama dalam PAS maksum tidak boleh ditegur? Apakah asas kepimpinan mereka terlalu hebat sehingga tidak boleh berbeza pendapat? Kerana tidak boleh ditegur Terengganu dan Kedah dibawah pentadbiran ulama menjadikan sosio ekonomi dan siasah sosialnya lebih mundur berbanding di zaman BN. Tahaluf apakah ini?

9. Presiden diangkat menjadi Naib Ketua (wilayah Asia Tenggara) Majlis Ulama Sedunia kerana ketinggian ilmu agama beliau. Namun itu tidak menjadikannya pemimpin dunia berkaliber. Namun tindakan segelintir penyokong mengagung-agungkan lantikkan tersebut seolah Presiden PAS setaraf Presiden sebuah negara. Diulangi, jika Presiden seorang pemimpin hebat beliau kekal sebagai MB Terengganu sepertimana kekalnya Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz di Kelantan berpuluh tahun. Dan jika tiada mandatori jawatan Presiden untuk golongan ulama nescaya Presiden tidak kekal lama di kerusi kuasa.

Mentadbir sebuah negeri/negara bukan hanya berbekalkan kitab feqah semata. Mentadbir sebuah negeri/negara bukan seperti menjaga sebuah keluarga/parti. Rasulillah telah menunjukkan teladan yang amat berguna bagaimana baginda meletakkan keluarga, sahabat mahupon kabilah di tempat selayaknya dan mereka tidaklah berada lebih tinggi dari pentadbiran sebuah kerajaan Islam yang ditunjangi amalan syura.

Jikalah kehebatan ulama itu kekal dengan ilmu agamanya semata maka layaknya dia berada di landasan tarbiah dan daqwah semata. Berikan posisi kepimpinan kepada mereka yang berhak dan layak ke atasnya. Wallahualam

No comments:

Post a Comment