Monday, February 24, 2020

Demokrasi Yang Gagal

Pada Ogos 2018 saya pernah menulis beberapa cadangan kepada Ketua Suruhanjaya Pilihanraya yang baru Azhar "Art" Harun. Saya menekankan keperluan mereformasi cara Malaysia memilih kerajaan dan ketua kerajaan.

Cadangan-cadangan tersebut terzahir selepas saya secara peribadi melalui pengalaman kecewa dengan sistem sedia ada.

Kita pernah berada di dalam situasi pemenang pilihanraya yang membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah dari pakatan yang bukan disokong majoriti pemilih.

Kita pernah berada di dalam situasi parti yang merangkul kerusi terbanyak Parlimen tidak dilantik sebagai ketua kerajaan dan tidak mendapat jawatan Jemaah Menteri memadai.

Kita pernah berada di dalam situasi ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mengguna dana, jentera, tenaga dan sokongan parti bertanding di bawah satu pakatan dan setelah dipilih mereka memilih menyertai satu pakatan lain (lompat parti) atau tidak berpakat (bebas).

Kita pernah berada di dalam situasi calon ahli Parlimen menjanjikan perubahan yang kita mahukan melalui manifesto-manisfesto samada peribadi atau melalui organisasi dan setelah dipilih mereka tidak mengotakan janji-janji dan tidak pula berasa accountable menipu demi meraih undi.

Kita pernah berada di dalam situasi kita memilih satu pakatan untuk menerajui sebuah kerajaan tetapi kita tidak boleh memilih siapa patut mengetuainya.

Kita pernah berada di dalam situasi kita berhemat satu calon amat layak diangkat menjadi wakil tetapi malangnya dia berada di bawah pakatan yang kita tidak percaya.

Kita pernah berada di dalam situasi ketua kerajaan diganti dan seluruh kerajaan bertukar hanya bersandarkan kepada Pengakuan Bersumpah (SD).

Situasi-situasi ini bukanlah sebahagian amalan demokrasi sebenar bukan juga demokrasi yang kita impi.

Perubahan dan kemajuan yang sebenar tidak akan mengambil tempatnya ketika wakil-wakil kita bermain politik lebih dari bekerja sedangkan mereka digaji untuk mewakili pendirian pengundi. Mereka mengkhianati mandat dan menipu janji-janji, melobi jawatan dengan mengamal politik wang serta mengabai amanah tanggungjawab. Ini berlaku kerana amalan-amalan tersebut tidak dihukum dan tiada hukuman.

Demokrasi sebenar tidak berdiri di bawah sistem "winner takes all" apatah lagi dengan membuat keputusan bergantung kepada bilangan majoriti kerusi dan melantik ketua kerajaan yang mendapat majoriti kepercayaan ahli Dewan. Sistem pilihanraya kita sebenarnya tidak demokratik. Kenapa?

Gerrymandering dan malapportionment dibenarkan berlaku dan ianya akan terus berlaku pada masa akan datang selagimana sistem pilihanraya sedia ada diamalkan.

Ramai sedar perubahan hanya akan terlaksana apabila asas dalam sebuah sistem tempang ditukar. Rakyat memilih PH dan menumbangkan BN kerana mahu proses ini bermula.

Pakatan Harapan dalam manifestonya antara lain berjanji mereformasi sistem pilihanraya. Selepas berjaya mengambil alih Putrajaya majoriti wakil rakyat PH bersetuju menyegerakan rang undang-undang berkaitan pilihanraya dengan cadangan rang undang-undang baharu dan meminda Perlembagaan.

Namun parti-parti pembangkang dan sebahagian kecil komponen PH sendiri cuba melengahkan proses tersebut. Mereka ini disokong oligarch dan monarki yang mahu mengekalkan sistem sedia ada. Mereka sedar jika sistem pilihanraya negara ini telus dan berlandaskan prinsip demokrasi sebenar mereka tidak akan berpeluang untuk berkuasa (baca mengumpul kekayaan).

Kita selaku pemilih perlu menunggu 5 tahun untuk menukar kerajaan, ketua kerajaan dan wakil rakyat andai kita tersalah pilih atau tertipu dengan janji-janji kempen mereka. Manakala wakil-wakil yang kita pilih hanya perlu menunggu bidaan (imbuhan, tawaran) siapa lebih tinggi untuk mengalih sokongan dan meruntuhkan sebuah kerajaan yang kita pilih.

Kita akan selalu berada di pihak yang rugi manakala pakatan yang berdana besar (kaya), tidak berkaliber, tiada integriti dan tidak berkelayakan akan terus menjadi kerajaan walaupon kita tidak memilih mereka.

Inilah yang berlaku selama 62 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional. Sistem rosak ini akan kekal kerana kerajaan baharu yang mahu menukarkannya telah ditukar secara khianat.

No comments:

Post a Comment