Monday, February 24, 2020

Letak Jawatan

Dr Mahathir mendakwa beliau meletak jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM kerana membantah kerjasama partinya dengan UMNO untuk tubuh Perikatan Nasional. Benarkah?

Umum tertanya-tanya bagaimana dengan hanya 11 MP PKR dan 20 MP PPBM yang degil dapat mengugat kedudukan Pakatan Harapan sebagai kerajaan Persekutuan dan mengancam kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika ke semua 9 MP Parti Warisan Sabah dan 18 MP Gabungan Parti Sarawak berikrar menyokong Dr Mahathir kekal sebagai PM?

Jika ditambah bilangan MP PKR 39, DAP 42, Amanah 11, PAS 18, UPKO 1 dan Bebas 2 maka Dr Mahathir masih memiliki majoriti sokongan untuk kekal sebagai PM.

Kenapa perlu meletak jawatan?

Dr Mahathir letak jawatan PM kepada Pakatan Harapan untuk kembali sebagai PM kepada Perikatan Nasional. Sebelum dilibas Anwar Ibrahim dan PH, beliau awal lagi memulang bola tanggung.

Terdahulu dari itu Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abd Hadi Awang, (bekas) Tim Presiden PKR Mohd Azmin Ali, Presiden Warisan Mohd Shafie Afdal dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Abd Rahman Johari Abang Openg mengadap YDP Agong untuk menyembah maklum sokongan mereka kepada Dr Mahathir di bawah pakatan baharu. Agong meminta tangguh perkenan sebarang keputusan sehingga Baginda terima mengadap pemimpin PKR, DAP dan Amanah selaku parti-parti kerajaan.

Agong dapat melengahkan penubuhan kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional tetapi Baginda tidak mampu menghalang Dr Mahathir untuk menjadi PM kepada pakatan baharu. Beliau ada majoriti sokongan.

Azmin Ali tanpa selindung meminta YDP Agong mempercepatkan perhitungan Baginda. Berkata kepada kumpulan penyokong di Hotel Sheraton PJ beliau menegaskan lebih lama tertangguh maka peluang Perikatan Nasional tertubuh makin tipis.

Muhyiddin Yasin selaku Presiden mengistihar PPBM secara rasmi keluar Pakatan Harapan. Setelah gagal mengantikan PH melalui peletakan jawatan PM, pengunduran blok PPBM menjadikan PH hilang majoriti dalam Parlimen. Kerana tiada majoriti maka kerajaan Pakatan Harapan runtuh.

Dengan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM secara otomatik Kabinetnya terbubar. Oleh kerana tidak ada Kabinet maka tidak ada Timbalan PM memangku tugas PM. Dengan ketiadaan Pemangku PM maka tidak ada kerajaan caretaker. Negara tidak boleh tidak berkerajaan.

Sebenarnya kedua-dua pihak yang mahukan kerusi PM berada di posisi deadlock. Anwar tidak ada angka untuk tubuh kerajaan manakala Dr Mahathir tidak mendapat perkenan Agong jadi PM kepada Perikatan Nasional.

Mengenali Dr Mahathir yang amat berwaspada, terhidu halangan-halangan termasuk tentangan berani mati dari Anwar dan sekutu andai kerajaan pintu belakang termakbul maka Dr Mahathir pilih melangkah setapak ke belakang. Untuk sementara ini keadaan menjadi sedikit tenang. Semua menanti dengan debar hari pertama Sidang Parlimen 9 Mac 2020.

Kini semuanya tergantung kepada kebijaksanaan YDP Agong. Baginda panggil mengadap Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah untuk mendapatkan penjelasan dan solusi mereka.

Letak jawatan PM dan pengunduran PPBM dari PH adalah bentuk ancaman  kepada PKR, DAP dan Amanah akan percaturan politik mereka. Berkeras, kamu hilang jawatan kerajaan dan kuasa. Berlembut, kami pertimbang rancangan kerjasama dengan musuh.

Menyedari hakikat kepayahan menjadi pembangkang Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pantas membuat pusingan U. Selepas mesyuarat tergempar kedua-dua parti sebulat suara memberi semula mandat kepada Dr Mahathir sebagai PM sekaligus menidakkan peluang Anwar untuk menduduki kerusi tersebut.

Sepatutnya PM ke 7 diangkat menjadi PM ke 8. YDP Agong ada cadangan lebih baik. Dr Mahathir dilantik semula sebagai PM Interim hingga PM ke 8 dipilih dan kerajaan yang dipimpin PM ke 8 itu akan diuji sokongan ke atasnya pada Sidang Parlimen kurang 3 minggu dari sekarang.

No comments:

Post a Comment