Monday, February 24, 2020

Perjuangan

Istiqomah

Sejak tahun 1999 lagi saya berjuang mendapatkan hak menentukan siapa kerajaan yang;

- boleh bergantung harap

- meletakkan rakyat di atas kepala dan bahu mereka BUKANNYA (menindas) di bawah telapak tangan dan kaki mereka

- menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau uzur, bijak atau mundur, penyokong atau pembangkang dari keturunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya BUKANNYA menyusu kera-kera di hutan apalagi memberi hak ke atas tanah dan kewarganegaraan

- meningkatkan sosio ekonomi rakyat khususnya golongan fakir miskin BUKANNYA memenuh dan melimpahkan kantung kumpulan bangsawan dan oligarch, kroni dan proksi

- memupuk perpaduan dan keharmonian sesama dan antara kaum BUKANNYA menghasut dan memecah belahkan kesatuan masyarakat

- menjadikan agama dan kepercayaan sebagai titik temu persamaan dan peradaban BUKANNYA perbezaan dan punca permusuhan

- mengubal dan mengamal undang-undang secara adil dan saksama BUKANNYA berbeda dan berkasta mengikut benak rasa pencatur dan pemunggah kuasa

- mencadang dan menghukum dengan hukuman setimpal kesalahan dan jenayah samada si pelaku adalah pengemis jalanan mahupon penghuni Istana

Sewaktu ramai remaja seusia masih berpesta dan bersuka saya ke denai dan jalanraya, ke perkampungan dan kotaraya, ke madrasah dan kampus siswa. Saya menyapa saudara, taulan malah siapa saja. Saya menghadap cemuhan dan penolakan. Saya membadai hayunan cotar, tembakan meriam air & hujan gas pemedih mata. Saya harungi kepungan dan lokap.

Sewaktu ramai belia menjaga mulut dan jari dari berhujah kerana takut kehilangan pangkat dan gaji mereka saya menentang kebobrokan pengurus dan penguasa dengan jiwa dan anggota dari satu notis ke satu notis letak jawatan.

Sewaktu ramai dewasa menyertai politik untuk darjat, pangkat dan pengaruh saya pilih berada di luar ketaksuban kepartian moga mampu berpesan secara adil dan seimbang.

Saya manusia berprinsip. Wang tidak mampu membeli pendirian. Saya mencela lintah dan biawak yang berumah dalam sistem politik negara, yang sanggup menawaf pelobi kuasa dan melacur maruah pada sebarang harga (termasuk jawatan, imbuhan, tawaran pengurangan hukuman, pembebasan dari dakwaan).

Saya berusaha atas kapasiti ilmu dan keterbatasan sumber membetulkan apa yang saya rasa janggal dan salah dalam sistem berkerajaan dan bernegara. Saya membantah;

- campur tangan Istana menentukan Perdana Menteri atau Menteri Besar, siapa mentadbir siapa membangkang

- aksi silap mata Suruhanjaya Pilihanraya memindah tiang gol sesuka rasa dan menaja pertandingan di padang tidak rata

- polisi pemenang rangkul semua, samada dalam Badan Perundangan, Eksekutif atau Kehakiman

- acara lompat pagar, lubang atau seumpamanya oleh politikus yang bergelar Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri demi kelangsungan hayat politik mereka atau tuan mereka

Saya membantah usaha kerajaan pintu belakang BN di Sabah tahun 1990 dan di Perak tahun 2009 serta PR di Putrajaya tahun 2008.

Saya tidak menyokong, membiayai apalagi menyertai kumpulan militan untuk menjatuhkan mana-mana kerajaan yang dipilih secara demokratik. Kuat pegangan saya pada hak 5 tahun sekali. Gelarkan saya ortodok atau konservatif, saya berkeras kerajaan mesti dipilih di peti undi.

Selama 3 pilihanraya saya dituduh macai pembangkang, tentera maya PKR dan anjing upahan DAP sedangkan pra PRU 12 dan 13 saya berhabisan ribuan Ringgit menyokong dan mendana kempen jemaah PAS. Saya tidak menyumbang kepada PKR dan DAP kerana kedua-duanya berkemampuan berbanding jemaah Islam.

Saya tidak bernafas (makan minum) dengan hasil upah atau gaji menyenarai semua kegagalan BN. Saya tidak beroleh satu sen dari tugas fisabilillah (menentang kemungkaran dengan tangan).

Sebaliknya saya menjual satu-satunya hartanah yang dimiliki untuk kelangsungan hidup dan membiayai perjuangan setelah syarikat terakhir saya bekerja menafikan sumbangan dengan membenarkan pemegang "ijazah kedoktoran" percuma merampas posisi saya. Majikan "hormatkan" saudara kandungnya ahli Lembaga Pengarah kumpulan dan sekutu Mohd Najib Abd Razak. Saya adalah mangsa nepotisma regim BN.

20 tahun saya istiqomah berjuang menumbang regim zolim. Pada Mei 2018 segala penat lelah pengorbanan berbayar. Saya panjat setinggi kesyukuran kepada Ilahi.

Sungguhpon bersyukur saya tidak 100% optimistik langit akan lebih cerah. Pakatan Harapan yang mengambil alih Putrajaya berdepan saat sukar dari tahun pertama penubuhan lagi.

Bermula dengan bantahan menerima Bersatu sebagai anggota ke 4, mewujudkan jawatan Pengerusi dan Presiden serentak dalam struktur organisasi, kelompongan kepimpinan sementara menunggu pembebasan Anwar Ibrahim, tentangan memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM, berdepan pengharaman oleh Pendaftar Pertubuhan, bertanding pilihanraya paling buruk dalam sejarah dengan serangan fitnah dan samseng, menang PRU14 dengan majoriti mudah, pelantikan PM ke 7 tertangguh kerana konflik antara YDP Agong dan Dr Mahathir serta tawaran jawatan PM oleh YDP Agong kepada Dr Wan Azizah Wan Ibrahim menyinggung Dr Mahathir membawa kepada tersebarnya kisah lampau bakal Permaisuri sekaligus mencalar reputasi Sultan Muhamad ke 5 serentak itu Baginda menyerah takhta sebagai Ketua Persekutuan (secara terpaksa?).

Cakap-cakap peralihan kuasa kepada Anwar oleh Dr Mahathir pula sering berubah-ubah, dari sandang jawatan maksima 2 tahun kepada lebih 3 tahun kepada selepas APEC 20 kepada terpulang padanya untuk tentukan tarikh.

Dr Mahathir Mohamad

Dari awal saya menentang cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai PM walaupon  bersetuju PH menerima parti Bersatu. Saya cenderung kepada cadangan menjadikannya Pengerusi Majlis Penasihat Negara membantu PM ke 7 mentadbir Persekutuan dengan baik. Malangnya suara saya terlalu kecil untuk didengar apatah dilayan.

Saya tidak menentangnya kerana namanya Mahathir. Saya menentang kerana pengalaman hidup di bawah pentadbirannya selama 22 tahun. Saya tidak dapat menerima;

- dictatorship ke atas Kabinet (Badan Eksekutif), penguasaan ke atas Parlimen (Badan Perundangan) dan campurtangan dalam urusan mahkamah (Badan Kehakiman)

- kegagalan Malaysia Incorporated. Bank Bumiputera dan MAS antara beberapa senarai panjang syarikat berkaitan kerajaan yang rugi berbillion Ringgit dan ditanggung dana rakyat

- ketidakadilan ke atas negeri Kelantan dan Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS

- kezoliman ke atas para pencabarnya termasuk Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim

- kekayaan luar biasa anak-anak dan kroni-proksinya

- kecurangan ekonomi antara golongan kaya dan miskin

- pembahagian ekonomi dan industri mengikut kaum

- kecenderungan regimnya menyebelahi golongan kapitalis

- memperdagang sektor pendidikan dan kesihatan

- sikapnya yang selalu berkata lain dan berbuat lain (ciri-ciri munafiq)

Sebagai graduan pengurusan saya melihat terlalu banyak teladan pengurusan tidak baik yang diamal dan dilegasikan Dr Mahathir.

Negara maju menjadi maju kerana tidak memusatkan seluruh kuasa dan hak membuat keputusan kepada Presiden/Perdana Menteri. Negara maju tidak berkompromi dengan pengamal rasuah dan salahguna kuasa. Negara maju menjenayahkan nepotisma dan kronisma. Negara maju memeritkan keupayaan ilmu, kepakaran, kewangan, pengalaman dan kredibiliti dalam memberi kontrak kerajaan dan menjamin projek usahasama. Negara maju melaporkan setiap sen yang dibelanjakan. Negara maju mendedahkan kepada umum semua perjanjian kontrak berkaitan kepentingan awam.

Adakah kerajaan Mahathir mengamalkan semua dasar ini? Akta Rahsia Rasmi 1972 dikenakan ke atas perjanjian-perjanjian seperti pengangkutan dan perdagangan. Rakyat akhirnya terpaksa pikul tanggungjawab ke atas perjanjian berat sebelah antara dua entiti seperti projek-projek lebuhraya dan antara dua kerajaan seperti ECRL.

Saya memilih PR/PH pada 3 pilihanraya lalu bukan kerana mereka lebih baik tetapi kerana BN semakin buruk.

Tidak seperti negara Amerika di mana parti Democrat dan Republican bersilih ganti menguasai Congress dan White House, di Malaysia BN menjadi kerajaan Pusat sejak merdeka. PR/PH tidak berpeluang menunjukkan keupayaan mereka. Saya mengambil risiko memberikan mereka peluang itu.

PR membuktikan mereka mampu mentadbir dengan baik di Pulau Pinang dan Selangor walaupon terdapat sedikit ribut dalam cawan. Ini menjadi kayu ukur pengundi atas pagar memilih kerajaan Persekutuan dan Negeri pada PRU 13 dan 14.

Ada cakap-cakap nakal (melampau) yang mengatakan PH tidak mampu tawan Putrajaya tanpa Dr Mahathir-Bersatu. Untuk itu suka saya mengingatkan bahawa bukan PKR-DAP-Amanah mencari Dr Mahathir-Bersatu di Seri Kembangan sebaliknya Dr Mahathir mengadap Anwar di mahkamah sebanyak 2 kali. Orang kanan Dr Mahathir, Daim Zainuddin mengadap Anwar di Sungai Buloh sebanyak 6 kali. Untuk apa?

Untuk menewaskan Najib Bersatu tak boleh bersama PAS. Sejarah panjang antara PAS dan Dr Mahathir menjadikan kerjasama antara Lebai-Lebai dan Bersatu terlalu sukar. Tambah lagi Abdul Hadi Awang secara terbuka menyokong Najib. Bukan rahsia pertandingan 3 penjuru PH-BN-PAS pada PRU 14 tidak lain untuk memenangkan BN. Takdir Tuhan strategi tersebut makan diri.

Dr Mahathir-Daim sedar peluang PH lebih cerah dalam pertandingan 3 penjuru. Maka sandiwara "sesal" dan "taubat" diwayangkan untuk memujuk reformis, penyokong dan para simpati PH agar menerima Dr Mahathir dan Bersatu.

Anwar Ibrahim

Dari penjara Anwar memberi amaran kepada batalionnya supaya berhati-hati dengan Dr Mahathir. Ketika PH berjuang merampas Putrajaya untuk merubah seluruh sistem amalan BN, matlamat Dr Mahathir-Bersatu hanya lah mahu menyingkirkan Najib dari kerusi kuasa.

Hari ini Dr Mahathir dan sekutunya telah membuktikan amaran Anwar itu benar belaka.

Mahathir hari ini tidak jauh beza dengan Mahathir 1983. Fizikal berubah tapi darah, akal dan nafsunya tetap sama. Maha zolim.

Saya tidak memilih kerana namanya Anwar. Saya tidak memilih kerana simpati nasib menimpa dirinya. Saya pilih Anwar sebagai PM kerana saat ini tiada pemimpin lain lebih layak darinya. Saya pegang kata-kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadapnya.

Saya pilih Anwar kerana harapan yang dibawanya adalah matlamat saya cari semenjak 22 tahun lalu. Anwar menjanjikan;

- reformasi sistem berkerajaan, memperkasa fungsi Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Ketiga-tiga sepatutnya seiring bukan mengatasi satu dari yang lain

- reformasi sistem pilihanraya

- reformasi pentadbiran awam, badan-badan berkanun dan syarikat milik kerajaan

- keperluan asas rakyat secara percuma seperti pendidikan, perubatan, pengangkutan dll

- peluang ekonomi yang saksama

- kerukunan bernegara

Saya tidak peduli dosa-dosa peribadinya atau perbuatan dalam kamarnya kerana itu urusannya dengan Tuhan. Selagi mana dia mampu melaksana tugas mengurus dengan baik, disegani pemimpin dunia sekaligus mengangkat martabat negara, menjadikan Malaysia aman makmur, meningkatkan daya saing ekonomi, membuatkan masyarakat dunia menyanjung tinggi peradaban Islam, maka sudah memadai melayakannya jawatan Perdana Menteri.

Ini negara demokratik. Saya punya hak ke atas pandangan dan undi saya. Andai wakil rakyat saya mengkhianati pilihan saya, maka saya berhak menuntutnya letak jawatan dan diadakan pilihanraya kecil. Kamu boleh bercanda ria dengan imbuhan dari pengkhianatan kamu (serta sumpah laknat dari para pengundi) tapi saya mahu melantik wakil baharu yang benar-benar bekerja untuk saya.

Kepada Dr Mahathir Mohamad kamu pernah dimaafkan, tapi kali ini kamu telah melampaui batas. Adakah kamu fikir akan selamat dari kelaknatan Allah s.w.t di dunia, barzaqh dan akhirat? Saya doakan.

No comments:

Post a Comment