Thursday, August 26, 2021

Keabsahan PM9

Keperluan ujian keabsahan Perdana Menteri di Parlimen

1. Menjunjung Perlembagaan
2. Mentaati titah YDP Agong
3. Memperkasa Parlimen
4. Mengesahkan status Kabinet
5. Meredakan pertikaian dan perbalahan

Kesan kegagalan menguji keabsahan PM di Parlimen

1. Mengkhianati Perlembagaan
2. Menderhaka titah YDP Agong
3. Melemahkan fungsi Parlimen
4. Mewujudkan pertikaian perundangan
5. Meningkatkan ketegangan dan perbalahan

Menyokong atau menolak PM semasa undian keabsahan ialah suatu perkara mustahak. Melengah atau menafikan usul undian keabsahan ialah suatu perkara lain yang lebih kritikal dan ianya mengukur sejauh mana kejujuran politikus mempertahan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dilaung dan kononnya dijuangkan mereka.

Di satu sisi langkah pemula kompromi PM dan pimpinan oposisi dipandang tindakan terpuji meredakan suhu politik selaras titah Raja-Raja. Namun di satu sisi lain kompromi tanpa restu majoriti pimpinan dan akar umbi parti bakal menyemarakkan lagi pertikaian dan perbalahan sesama ahli dan antara penyokong. Silap langkah tindakan berkompromi ini mampu memecahbelahkan parti khususnya oposisi.

Baik PM atau Ketua Pembangkang (KP), tindakan susulan mereka kini akan sentiasa diteliti rapi dan jadi subjek pertikaian. Akan berlaku banyak perselisihan pendapat dan penjelasan harus dibuat. Bukan semua langkah mereka akan memuaskan hati ahli. Di sebelah PM ada kem sekutu dan oportunis, di sebelah KP ada kem pendokong dan bebas.

Langkah kompromi lebih menekan oposisi berbanding kerajaan. Kerajaan tak terkesan jika KP memilih berpaling dari pelan kompromi kerana mereka terus kekal di posisi majoriti, terselamat dari penyingkiran awal. Bakal ada penyesuaian antara mereka melalui 'scheme of thing 2' demi mengukuhkan kedudukan PM.

Jika hasil kompromi membuka ruang pada PM dan sekutunya kembali menyalahguna kuasa dan seterusnya memudaratkan rakyat maka pimpinan oposisi yang sedia terbeban defisit kepercayaan akan dipersalahkan penyokong dan musuh. Tak mustahil Istana turut mempertikai efisensi semak imbang pimpinan oposisi.

Kegagalan kompromi mewujudkan kesan domino. Pimpinan oposisi yang menyokong usaha kompromi akan didesak bersara dari politik. Tanpa pelapis berpengaruh dan berkaliber kewibawaan oposisi disanggah dan kesatuan mereka berpecah. Proses menyatupadu kumpulan bertelagah serta memulih dan mengembalikan keyakinan umum pada oposisi bakal mengambil masa yang panjang.

Ketika itu ramai politikus yang mementingkan diri akan meninggalkan 'kapal tenggelam' oposisi. Yang kekal membaiki bocor, setia dalam perjuangan tak ramai. Oposisi kecil dan lemah adalah sumber kekuatan pemerintah zalim dan tamak haloba. Kitaran kegagalan 60 tahun yang dicipta Barisan Nasional bakal berulang.

Sidang Parlimen September ini medan terbaik rakyat, baik penyokong, pemerhati mahupun pengundi atas pagar, menilai kesungguhan politikus memartabat institusi Parlimen dan Raja-Raja. Ujian keabsahan ialah kertas utama menyukat kejujuran, kesetiaan, kematangan dan kebijaksanaan politikus.


No comments:

Post a Comment