Sunday, May 17, 2015

Dua Anak Awang

Media Regim

Semenjak PRU13, media-media milik Regim, baik cetak mahupon elektronik, gemar menerbitkan berita halaman utama berhubung PAS. Aqbar paling banyak kalah kes saman fitnah dan paling tidak menguntungkan Regim Utusan Meloya, adalah yang paling sibuk membuat liputan, terutamanya sekitar pemilihan kawasan dan Muqtamar.

Lewat ini rata-rata berita  mengenai PAS lebih sopan dan positif berbanding yang disiarkan mengenai organisasi tersebut sebelum PRU13. Pemimpin dan ulama tertentu pula lebih kerap memenuhi waktu perdana berbanding pemimpin kanan UMNO seperti Muhyiddin Yasin, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Mohd Shafie Afdal.

Bukanlah suatu yang memeranjatkan media-media Regim memberikan 'main coverage'. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka memberitakan masalah rumahtangga orang lain, khususnya madu-madu Pakatan Rakyat, berbanding cerita rumahtangga mereka yang berantakan. MCA, MIC malah UMNO sendiri kini menghadapi perpecahan dalaman. Seperti biasa, kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak.

Media Regim memberi 'air time' kepada pemimpin dan ulama yang pro Kerajaan Perpaduan (Unity Government) sahaja,  apatah lagi jika mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggahan dan bersifat kecaman terhadap pemimpin rakan gabungan Pakatan Rakyat. Ambil PRK Permatang Pauh sebagai contoh, sekecil-kecil Yang Dipertua kawasan diberi liputan meluas kerana kenyataannya mencemuh PKR dan Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagi Regim, liputan seperti itu bukanlah satu pekerjaan melaga-laga atau memprovokasi. Sebaliknya ia perbuatan tulus suci.

Selepas membuat kenyataan terbuka menyokong Haji Mohd Najib Abd Razak kekal sebagai Perdana Menteri, Haji Hadi dan geng ustaz seolah mendapat akses ke pejabat penyunting berita media Regim.

Haji Hadi dan ulama PAS terus diwadahkan sebagai 'golongan mulia lagi tinggi kedudukannya'. Haji Hadi ulama terbilang. Hanya Haji Hadi layak berada di kerusi Presiden. Sesiapa yang mengakui tiada Presiden selain Haji Hadi adalah 'ahli sunnah wal jamaah' sejati dan selangkah menjadi 'ahli syurga'. Tidak perlu Sijil Agama untuk bergelar ustaz, asalkan berpakaian seperti ustaz dan berdiri teguh di belakang Naib Ketua (bahagian Asia Tenggara) Kesatuan Ulama Sedunia itu sudah memadai. Haji Hadi adalah PAS, sepertimana Haji Najib adalah UMNO. Tiada Haji Hadi tiadalah PAS.

Sesiapa yang berbeda pendapat dengan Haji Hadi adalah rendah aqhidahnya. Sesiapa yang mencabar Haji Hadi adalah perosak ummah. Sesiapa yang menolak Haji Hadi sama kedudukannya dengan golongan munafiq, kufur, kafir harbi dan musuh Islam.

Dalam PAS hanya ada golongan ulama dan pemuja ulama. Golongan seperti Erdogan, Anwarinas, Demokrat, Liberal, Progresif dan Professional tidak boleh wujud tetapi puak Hadian terkecuali. Mereka tidak layak berkuasa malah wajib dijatuhkan dari kedudukan sedia ada. Nama-nama seperti Muhammad Mohd Sabu, Husam Musa, Kamaruddin Jaafar, Khalid Abd Samad, Mohamed Hanipa Maidin, Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Abd Rani Osman, Dr Mohammad Nizar Jamaluddin, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan ramai lagi adalah barua PKR-DAP. Mereka hanya layak menjadi pengumpul dana untuk 'kerja fisabilillah' ulama PAS. Perduli apa sumbangan dan pencapaian mereka dalam PAS selama ini kerana geng ustaz (khususnya ulama segera dan lebai junior) mampu berbuat lebih baik. Barua-barua PKR-DAP ini tidak lebih hanyalah anak buah Almarhum Haji Fadhil Noor dan Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat semata.

Bayangkan media Regim menulis bagi pihak 'golongan mulia lagi tinggi kedudukannya'. Haji Hadi pula tidak mempersoal apalagi membantah tindakan campurtangan media Regim dalam urusan rumahtangganya. Tidakkah ini jelas menunjukan ada usahasama 'I scratch your back you scratch mine' antara Haji Hadi dan majikan media Regim? Tidakkah tindakan media Regim mempromosi Haji Hadi-geng ustaz dan mencemuh menjatuhkan pengkritiknya adalah habuan sokongan Haji Hadi mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri?
 

Anak Awang vs Anak Awang

Muqtamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) bakal berlangsung 3-6 Jun di Kuala Selangor menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya satu lawan satu untuk kerusi-kerusi penting Jawatankuasa PAS Pusat. Antara yang menjadi perhatian utama ahli, kawan dan lawan parti Melayu kedua terbesar itu ialah perebutan jawatan Presiden di antara penyandang Haji Abd Hadi Awang dan bekas Naib Presiden PAS juga bekas Ahli Majlis Syura dan Pesuruhjaya PAS Perak Haji Ahmad Awang. Kedua-dua anak Awang ini (Awang yang berbeda) merupakan tokoh ulama terkenal.

Haji Abd Hadi Awang 
 
Beliau mendapat pendidikan Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah kemudiannya Ijazah Sarjana Siasah Syariah dari Universiti Al Azhar Mesir.

Haji Hadi mula berkecimpung dalam politik dari tahun 1982 apabila Anwar Ibrahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meninggalkan NGO tersebut dan menyertai UMNO. Bersama Timbalan Presiden ABIM Haji Fadhil Mohd Noor dan beberapa lagi pemimpin ABIM, Haji Hadi (Ketua ABIM Terengganu) menyertai PAS. 

Haji Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang selama 5 penggal dan Ahli Dewan Undangan Negeri Marang/Rhu Rendang selama 6 penggal.

Semasa krisis perlucutan jawatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri tahun 1998, PAS dibawah Haji Fadhil mendapat laba besar. Tentangan Presiden PAS itu terhadap konspirasi ke atas Anwar dan penyertaan PAS dalam gerakan Reformasi membawa kepada kemenangan besar Barisan Alternatif di Kelantan dan Terengganu pada PRU10. PAS memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN dan 7 daripada 8 kerusi Parlimen. Haji Hadi diangkat menjadi Menteri Besar. Namun pada PRU11 PAS kalah teruk di Terengganu, Haji Hadi kalah kerusi Parlimen Marang tetapi kekal di DUN Rhu Rendang. Haji Hadi dan PAS mentadbir Terengganu sepenggal cuma.

Haji Hadi dipilih sebagai Presiden pada Muqtamar PAS 2003. Sebelum itu beliau memangku jawatan tersebut selama 2 tahun selepas kematian Haji Fadhil. Semenjak itu beliau kekal menduduki kerusi tertinggi PAS hingga ke hari ini.

Beliau merupakan Ahli Majlis Antarabangsa bagi Pendekatan Mazhab-mazhab Islam, Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam Sedunia dan terbaharu dilantik Naib Ketua (bahagian Asia Tenggara) Kesatuan Ulama Sedunia.
 
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Yayasan Islam Terengganu selama  hampir 2 tahun. Beliau tidak berkesempatan terdedah kepada pentadbiran awam atau sektor korporat kerana terlibat dengan politik sejurus selepas menamatkan pengajian.

Haji Ahmad Awang
 
Beliau menamatkan pendidikan peringkat tinggi di Kolej Islam Malaya dan menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar Mesir. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Perundangan Islam di samping Diploma Pendidikan.

Haji Ahmad mula berkecimpung dalam politik dari tahun 1984 dengan menyertai PAS. Beliau hanya bergerak aktif selepas menjadi AJK PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak tahun 1999. Pernah menjadi calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai PRU10 dan PRU11. Beliau pernah menjawat jawatan Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak selama 4 penggal.
 
Memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama kementerian, kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai Pegawai Perancang Agama Dewasa. Seterusnya bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
 
Apabila Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (kini JAKIM) ditubuhkan tahun 1974, beliau dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, kemudian ditukarkan ke Kementerian Pelajaran dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM. Sebelum bersara tahun 1991 beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Islam.

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, Haji Ahmad menyertai dan menerajui beberapa pertubuhan NGO khususnya bidang dakwah dan pendidikan. Beliau memimpin Persatuan Ulama’ Malaysia selama 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Beliau juga pernah memimpin Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Di sektor korporat tempatan Haji Ahmad pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.
 
Daripada sejarah pengalaman dan pencapaian di atas dapat disimpulkan bahawa:
 
1. Haji Hadi dan Haji Ahmad memiliki latar belakang pendidikan Islam sama hebat.
 
2. Haji Hadi dan Haji Ahmad memiliki pengalaman dalam organisasi atau pertubuhan Islam tempatan dan antarabangsa sama hebat.
 
3. Haji Hadi memiliki lebih pengalaman dalam politik dan lebih pendedahan dalam organisasi parti politik berbanding Haji Ahmad.
 
4. Haji Hadi memiliki sedikit pengalaman dalam sektor awam dan hampir tiada pendedahan dalam sektor korporat berbanding Haji Ahmad.
 
Haji Hadi memperolehi lebih sokongan (baca kekuatan) di kalangan ulama dan pemimpin muda PAS berbanding Haji Ahmad. Haji Hadi turut mendapat sokongan (baca bantuan) pemimpin UMNO dan NGO pro Kerajaan Perpaduan. Namun Haji Hadi tidak memperolehi sokongan (baca kerjasama) di kalangan pemimpin dan penyokong rakan gabungan PR berbanding Haji Ahmad. Haji Hadi tidak dilihat sebagai 'Leader material' dan 'team player' dalam PR berbanding Haji Ahmad.
 
Ringkasnya, untuk memilih samada Haji Hadi atau Haji Ahmad menjadi peneraju PAS, ahli dan penyokong harus memahami dan menganalisa keadaan berikut:
 
1. Kekal bersama PR
 
Jika Muqtamar memilih PAS kekal bersama PR, maka Haji Hadi bukanlah pemimpin yang sesuai mengemudi parti Islam tersebut. Haji Hadi terangan menunjukan sikap menentang dan keras terhadap beberapa Dasar Bersama dengan PKR-DAP namun mampu berlembut dengan pemimpin UMNO. Bukan suatu rahsia Haji Hadi mempelopori usaha Kerajaan Perpaduan PAS-UMNO. Haji Hadi juga menyokong Haji Najib kekal sebagai Perdana Menteri ketika ramai pemimpin PAS dan UMNO mahu beliau disingkirkan.
 
Jika PAS mahu menjadi lebih dari sebuah pergerakan Islam, untuk memimpin negeri dan negara yang berbilang kaum dan agama ini PAS perlu melantik seseorang yang penyabar, berpolitik matang, bertolak ansur, berketerampilan, realistik, berpengalaman mengurus kepelbagaian, perbedaan ideologi, kepimpinan awam dan korporat. Dalam kes ini Haji Ahmad memiliki kelebihan.
 
Melantik Presiden yang mesra rakyat, mesra rakan gabungan, berpengalaman dalam sektor awam dan korporat dapat mengukuhkan kedudukan PAS dalam arena politik tanahair malah mampu membantu parti meraih lebih sokongan pengundi atas pagar dan bukan Melayu pada PRU14 nanti.

Tidak mustahil jika pemimpin dan ulama sedia ada bergembeling tenaga dengan Presiden jenis ini PAS berpeluang menawan Johor dan Pahang selain menguasai semula Kedah dan Terengganu di samping mengekalkan Kelantan pada pilihanraya umum akan datang. Sebagai parti terbesar bilangan ahlinya dalam Pakatan Rakyat, PAS bakal mempunyai sekurang-kurangnya 5 Menteri Besar manakala Presiden PAS sudah pasti menjawat paling tidak jawatan Timbalan Perdana Menteri.
 
2. Bersatu dengan UMNO
 
Jika Muqtamar memilih PAS keluar dari pakatan longgar PR dan bersatu dengan UMNO, maka Haji Hadi perlu kekal sebagai Presiden. Ini memudahkan PAS dan UMNO berintegrasi atau membentuk pakatan baru. Tindak tanduk Haji Hadi lewat ini menunjukan beliau mulai menerima perbedaan idealogi antara dua parti Melayu terbesar itu.
 
Haji Hadi barangkali mampu mengIslamkan idealogi Nasionalisme UMNO manakala UMNO mampu meMelayukan idealogi politik Islam PAS. Barangkali juga Haji Hadi mampu melembutkan hati-hati Melayu Liberal yang ramai dalam UMNO itu untuk menerima gagasan perjuangan PAS - penubuhan Negara Islam, lantas mampu menjadikan Malaysia negara yang lebih bersih, aman dan maju. Mungkin itulah kekuatan utama Haji Hadi yang ramai ahli PAS dan penyokong PR belum atau tidak mampu melihatnya.
 
3. Bergerak sendiri
 
Jika Muqtamar memilih untuk tidak mahu lagi bersama PR dalam masa sama tidak juga mahukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, maka PAS tidak memerlukan Haji Hadi mahupon Haji Ahmad. Kedua-duanya ulama ini cenderung memihak dan ini hanya akan menyukarkan usaha bergerak sendiri.
 
Haji Hadi hanya akan menjadi liabiliti kepada PAS jika beliau kekal sebagai Presiden kerana pemimpin dan penyokong dari kumpulan profesional dan moderat akan meninggalkan PAS beramai-ramai. Seorang pemimpin baharu perlu ditonjolkan untuk mengemudi parti yang mempunyal lebih 1 juta ahli itu - seseorang yang meletakkan kecintaannya kepada agama dan ummah lebih tinggi dari kecintaannya kepada jawatan, martabat, qabilah dan semangat assobiyah, seperti Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat.

Kepada semua perwakilan PAS di Muqtamar kali ini, selamat memilih dan bersidang. Sebagai sebuah pertubuhan pergerakan Islam dalam masa sama parti politik, yang bakal memerintah Malaysia di masa depan, maka perwakilan harus memilih pemimpin berdasarkan keupayaan, kekuatan dan matlamat perjuangannya, bukan kerana cerita-cerita, desakan dan kempen pihak tertentu. Kepada kedua-dua putera Awang, selamat berjaya. Menang atau kalah adat pertandingan, agama dan ummah mesti didahulukan!
 
Nota:
Adalah tidak adil menghalang sesiapa, khususnya khalayak umum memberi pandangan bagaimana perwakilan perlu memilih pemimpin, ketika PAS masih berada dalam saf kepimpinan PR negeri yang dilantik rakyat yang sebelum ini teruja dengan jenama 'PAS for All', 'Negara Berkebajikan' dan 'Agree to Disagree'. Yang melantik ADUN dan MP PAS ke kedudukan mereka bukan semuanya ahli dan penyokong PAS,  mereka mengundi calon PAS kerana mereka terlalu membenci UMNO-BN.

No comments:

Post a Comment