Saturday, October 17, 2015

Hijau

Hari ini parti Melayu kedua terbesar negara berhimpun di Kelantan. 'Himpunan hijau' mengumpulkan 60 ribu penyokongnya dari seluruh pelusuk negara. Setiausaha penganjur menegaskan matlamat utama perhimpunan separuh hari ini adalah platform untuk penyokong mendengar dan mematuhi amanat pemimpin serta menterjemahkan kesetiaan mereka kepada parti.

Belum ada lagi dari banyak-banyak parti politik di Malaysia mengadakan perhimpunan mega mengumpulkan ahli dari seluruh negara bertujuan menonjolkan (ada unsur riak dan taqabur) kepada umum kekuatan dan pengaruh mereka seperti dilakukan dua parti Melayu UMNO dan PAS.

Dalam keadaan negara berdepan dengan pelbagai dugaan dan ancaman dari luar dan dalam, ke atas ekonomi, sosio politik, pendidikan, kesihatan serta keselamatan awam dan negara, umum mempersoal keperluan menunjukkan 'muscle' pemimpin dan parti di waktu sukar begini.

Apakah dengan memperlihatkan besarnya sokongan terhadap pemimpin dan parti dengan berpayah-payah mengangkut penyokong dari serata cerok, samada perbelanjaan sendiri ataupon ditaja, adalah lebih penting dari menyuarakan kekecewaan berdepan cabaran saraan hidup kesan pengenalan GST serta kenaikan minyak, tol lebuhraya dan tambang pengangkutan awam? Lebih penting dari menentang amalan rasuah dan kronisme serta undang-undang dwi standard dan pendakwaan terpilih oleh kerajaan korup dan zalim? Lebih penting dari menentang penjajahan moden melalui TPPA dan perjanjian perdagangan bersifat 'jalang' oleh sekutu besar Regim Zionis Laknatullah? Lebih penting dari melaksanakan tuntutan kemaslahan umat?

Perbelanjaan menganjurkan perhimpunan sedemikian jika dikumpulkan mampu memberi banyak manfaat kepada mangsa malapetaka banjir Disember lalu yang masih berumahkan khemah.

Tiadalah guna melaungkan kalimah suci 'Allahuaqbar' menyorak hujah seorang manusia dan mengangkat fahamannya ketika saudara kita di kejiranan dan sempadanan dalam kesempitan dan kemudaratan kita abaikan. Dan ia hanyalah mendatangkan kemurkaan Allah jika kita (bersubahat) membesarkan manusia yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia!

No comments:

Post a Comment