Monday, October 12, 2015

Janji Capati Digemari Warga Desa

Tol lebuhraya utama sekitar Lembah Klang menyaksikan peningkatan antara 17-80% bermula 15 Oktober ini. SILK mencatat peningkatan tertinggi, dari MYR1.00 kepada MYR1.80 sehala. Dan selepas kenaikan tol, tambang perkhidmatan LRT dan Monorel dibawah Prasarana Malaysia Berhad pula akan menyusul.

Mengelak dari menggunakan perkataan 'tambang naik' Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Syed Hamid Albar berkata penyelarasan tambang baharu bagi perkhidmatan LRT dan Monorel akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Tidak perlu dibuat bancian berapa ramai yang tidak bersetuju dengan peningkatan ini. Nada-nada kecewa dan murka rakyat kuat kedengaran dari kaki lima hingga ke pejabat awam. Bukan sahaja penyokong pembangkang, penyokong kerajaan juga naik hantu dengan 'double trouble' ini. 

Namun blogger prabayar (Najib mengelarkan mereka si bangang) akan sekali lagi berlagak hero mempamerkan 'kebijaksanaan' mereka dengan menghentam rakyat yang mengadu dan mengeluh. Ini kerana kewarasan mereka menilai 'pelarasan tambang' bukan beerti 'tambang naik', sebaliknya cuma selaras!

Syed Hamid Albar berkata mesyuarat Kabinet telah meluluskan kertas cadangan berhubung penyelarasan tambang baharu dan SPAD sedang mengadakan perbincangan dengan Prasarana sebelum membuat pengumuman berkenaannya menjelang 31 Oktober ini.

Walaupon muka Mohd Najib Abd Razak memenuhi segenap dinding stesen dan gerabak LRT, Monorel, Komuter dan Bas sebelum PRU13 lalu dengan kata-kata (baca janji-janji) 'kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup', lepas pilihanraya beliau sudah tiada masa untuk mendengar lagi. Malah beliau pantas memberi alasan 'orang ramai berminat untuk mendapatkan khidmat terbaik, jadi bagi kami akan sentiasa wujud elemen kos dalam usaha untuk menawarkan khidmat terbaik dalam pengangkutan awam'.


Inigin tahu mengapa Najib mampu berbuat demikian tanpa berasa khuatir kesan tindakkannya ke atas BN?

Menjelang PRU14 Regim akan menyambung kembali strategi 'public relation'nya dengan mengitar semula hujah mereka kerajaan mendahulukan rakyat. Mereka, tanpa melalui mesyuarat kabinet dan tanpa proses tawar menawar dengan pemegang konsensi atau saham yang panjang, bersegera menurunkan tol dan tambang atau memberikan diskaun yang besar (untuk suatu tempoh yang terhad) kepada pengguna lebuhraya dan pengangkutan awam.

Malah waktu itu jugalah Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM, Imigresen dan RELA pantas 'mengempur' sarang pendatang. Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan hebat 'menyerang' pemborong, pengedar, pasaraya dan pasar besar, premis makanan, hatta kedai runcit tidak terlepas dengan pelbagai operasi mengawal harga dan mengenakan tindakan. Dalam banyak-banyak 'kesungguhan kerajaan' itu, BRIM lah yang paling cepat mengambil hati rakyat khususnya warga desa.

Besar kemungkinan tahun 2016 dan 2017 BRIM ditambah nilainya. Ini kerana Najib yang terkenal di seluruh dunia berjaya mengumpul lebih banyak 'derma' dari kerabat Semenanjung Arab. Pesan Najib dengan MYR700 boleh menampung keperluan sekeluarga selama setahun dan warga desa amat mempercayai pesanannya itu.

Semua itu tidak lain membuktikan betapa Regim perduli dan memahami keselamatan dan kesempitan rakyat. 

Makcik pakcik abang kakak adik (rata-rata Melayu semuanya) dari Jengka, Rompin, Gerik, Hulu Terengganu dan lain-lain menadah tangan ke langit bershukur adanya kerajaan yang terbaik di dunia seperti Regim. Doa mereka itu lebih kerana Regim telah menyediakan pengangkutan, makan dan minum, penginapan, sehelai pakaian serta wang poket kepada mereka untuk bercuti di bandar Kuala Lumpur yang cuma sekali itu. Dan selepas pulang ke desa dan tiba pilihanraya mereka memilih Regim sekali lagi sebagai kerajaan untuk 5 tahun seterusnya.

Warga kota tidak terumpan dengan dedak BRIM dan segala taktik diskaun-rebat. Ini kerana mereka paling terkesan sepanjang tahun dari sedikit perubahan pada struktur cukai, tol dan tambang. Ditambah dengan kejatuhan nilai Ringgit nilai BRIM langsung tidak mampu menampung perubahan tersebut. Warga kota metropolitan dan ibu negeri beramai-ramai menolak Regim dalam pilihanraya lalu. Di Kuala Lumpur misalnya, dari 13 kerusi Parlimen hanya 2 di menangi Regim. Warga kota amat terasa keperitan dari kegilaan penguasa.

Warga kota telah lama menolak Regim yang angkuh dan pandai temberang, warga desa bila lagi? Masih gemar janji capati?

No comments:

Post a Comment