Wednesday, October 7, 2015

MRR vs 1MDB

Akhirnya Majlis Raja-Raja (MRR) bersuara. Titah MRR telah disampaikan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad. Antara kandungan titah adalah:

1. Raja-Raja Melayu menekankan pentingnya semua pihak yang terbabit (dalam siasatan ke atas 1MDB dan anak syarikatnya) memberikan kerjasama  sahih dan ikhlas demi memastikan penyiasatan itu mencapai matlamat.

2. Hasil penyiasatan mesti dilaporkan secara terperinci dan telus supaya orang ramai yakin terhadap keikhlasan kerajaan tidak menyembunyikan fakta dan kebenaran.

3. Kegagalan memberi penjelasan dan jawapan yang meyakinkan dikhuatiri menyebabkan berlakunya krisis keyakinan.

MRR jarang sekali bersuara khususnya berkenaan hal-hal pentadbiran negara apatah lagi hal syarikat milik kerajaan. Barangkali isu 1MDB sudah sampai ke kemuncaknya sehingga membimbangkan MRR sekaligus menitahkan agar siasatan terhadap tuduhah-tuduhan berat ke atas syarikat pelaburan negara itu disegerakan.

Sudah tiba masanya semua pihak di negara ini memainkan peranannya.

Malaysia mengamalkan Sistem Berperlembagaan, mengiktiraf Raja sebagai Ketua Negara. Raja-Raja di Malaysia adalah Raja Berpelembagaan. Raja hanyalah ketua simbolik di dalam rangkaian Eksekutif dan kuasanya dibatasi perlembagaan negara. Ringkasnya Raja Berperlembagaan digabungkan dengan perwakilan demokrasi, kerajaan masih dibawah kuasa rakyat dan Raja mempunyai peranan tradisional. Pada hakikatnya Perdana Menteri, iaitu pemimpin yang dipilih oleh parti, yang memerintah negara dan bukannya Raja.

Sungguhpon Raja-Raja berada di hierarki tertinggi dalam negara namun mereka tidak terlibat secara langsung dalam urustadbir negara dan negeri. Di negara yang mana Perdana Menteri mempunyai kuasa yang cukup besar seperti di Malaysia, MRR amat diperlukan sebagai 'check and balance'. Tugas 'check and balance' tidak boleh disamakan MRR mencampuri urustadbir negara sebaliknya ia memenuhi tanggungjawab Perlembagaan mereka sebagai payung rakyat dan negara. Jika Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya berlaku zalim maka menjadi tugas MRR bertindak bersesuaian dengan peruntukkan perlembagaan menyelamatkan negara.

Saya pernah mencadangkan MRR diberikan tanggungjawab memilih pegawai tertinggi atau ketua untuk entiti keselamatan, perundangan dan kehakiman negara. Saya juga mencadangkan agar MRR menyemak urustadbir negara seperti auditor. Selain itu jawatan Perdana Menteri harus ditentukan melalui undian terus oleh rakyat atau Ahli Parlimen manakala entiti penting khususnya hal keselamatan, perundangan dan perbendaharaan bertanggungjawab terus kepada jawatankuasa khas Parlimen. Baca sini. Cadangan tersebut memerlukan Pindaan Perlembagaan.

Jika Ahli Yang Berhormat khususnya dari parti 'ketuanan Melayu' benar-benar iqlas dengan lafaz ikrar perjuangan 'mempertahankan Institusi Beraja dan bangsa Melayu' mereka, maka inilah masanya mereka bertindak sejajar dengan titah MRR. Kiranya mereka tidak mampu untuk membetulkan Mohd Najib Abd Razak dan kerajaannya (yang menguruskan syarikat bermasalah 1MDB) maka selayaknya mereka menyerahkan tanggungjawab mereka kepada MRR. Mereka sebetulnya memperkasakan kembali MRR melalui Pindaan Perlembagaan. Campurtangan MRR tidak lebih hanya mengurangkan pemusatan kuasa kepada PM. Itupon jika mereka benar-benar iqlas dan jujur pada sumpah jawatan mereka.

Saya positif titah MRR kali ini akan membuka ruang lebih baik kepada demokrasi dan kerjasama antara Istana dan rakyat. Saya positif penglibatan MRR dengan tanggungjawab khusus dalam urustadbir negara dapat memperkemas sistem sedia ada, malah meningkatkan ketelusan pentadbiran dan meminimakan salahguna kuasa oleh anggota kerajaan.  Dari situ semuanya akan kembali memulih. Politik dan ekonomi negara akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Insha'Allah

1 comment:

  1. Majlis raja2 vs maharaja bugis..
    Ada maharaja bugis takut dan hairan?

    ReplyDelete