Tuesday, October 20, 2015

Najib Kekal Pembangkang Menang?

Ada sebahagian pemimpin pembangkang berhujah Mohd Najib Abd Razak harus diberi peluang menghabiskan penggalnya. Mereka berstrategi lagi lama Najib di kerusi kuasa lebih tinggi peluang mereka menjatuhkan Regim pada PRU14. Alasan mereka Najib bijak melakukan lebih banyak kerosakkan dari kebaikan jika masih menjadi Perdana Menteri. Semakin banyak kerosakkan dilakukan Najib makin meningkat kebencian dan kemarahan rakyat kepadanya. Lantas datang pilihanraya rakyat memenangkan pembangkang dengan menggunakan kuasa mengundi menolak UMNO-BN.

Strategi ini ada baik buruknya. Yang baiknya ialah jika pembangkang telah melakukan perincian dan analisa yang jitu persis. Yang buruknya ialah jika pembangkang hanya mengunakan sentimen umum yang bermusim untuk bergantung pada strategi tersebut.

Apakah peratusan kejayaan strategi tersebut (abaikan sub strategi, jika ada)? Adakah pemimpin pembangkang telah menilai dua faktor berikut ketika memilih strategi mengekalkan Najib?

1. Banyak mana peralihan undi kepada pembangkang?

Rakyat yang marahkan Najib boleh digolongkan ke dalam kumpulan seperti berikut. Pertama - kumpulan belia kali pertama mengundi. Kedua - kumpulan pengundi atas pagar atau pengundi tidak berparti. Ketiga - kumpulan ahli dan penyokong BN yang kecewa. Keempat - kumpulan ahli dan penyokong pembangkang.

Sudah kedengaran di sana sini ahli dan penyokong BN khususnya di bandar mulai memperlihatkan kekecewaan mereka terhadap BN. Isu-isu yang berlegar di Putrajaya dan melibatkan rakyat adalah asas kekecewaan mereka. Sungguhpon tidak ramai yang mengambil langkah drastik meninggalkan parti manifestasi kekecewaan terhadap kegagalan BN seperti dilakukan Saifuddin Abdullah, namun sentimen kekesalan mengekalkannya sebagai kerajaan semakin kuat.

Saban hari ahli dan penyokong BN turut terkesan dengan tekanan kos sara hidup yang makin meninggi, ketegangan antara kaum yang makin meningkat, gejala rasuah dan salahguna kuasa yang makin tidak terbendung. Mereka berasa malu mempertahankan parti yang mereka undi selepas pelbagai pendedahan salahlaku pemimpin parti menjadi topik hangat perbualan umum.

Jika sentimen ini berkekalan sehingga PRU14 sepertimana berlakunya ke atas Abdullah Ahmad Badawi sebelum PRU12 dan Najib sebelum PRU13, tidak mustahil pembangkang menang besar. Itupon jika parti-parti pembangkang membentuk blok pakatan yang kuat dan bersatu. Namun melihatkan keadaan pembangkang hari ini, wujud kemusykilan mereka mampu menjadi alternatif kepada BN.

Perselisihan sesama pemimpin separtisan dan antara rakan komponen kini makin ketara. Ketidak-kesatuan berpunca dari perbedaan budaya politik dan prinsip perjuangan menyebabkan parti-parti pembangkang berantakkan. Inilah sebab-sebab yang mengundang kecewa rakyat khususnya 52% pengundi pilihanraya lalu.

Tanpa pemimpin berkaliber seperti Anwar Ibrahim pembangkang menjadi lemah dan berpecah belah. Umum beranggapan selagi Anwar berada di sebalik tirai besi selagi itu pembangkang tidak akan berjaya ke Putrajaya. Ini kerana asas kekuatan dan kesatuan pembangkang yang membolehkan mereka berjaya mentadbir terletak kepada kaptennya. Semenjak Anwar direhatkan sekali lagi di Sungai Buloh (dan semenjak geng Taliban menang besar dalam Muktamar PAS lalu) belum ada seorang pemimpin mampu mengemudi pakatan pembangkang sehebat Anwar.

Jika keadaan ini berlarutan kekecewaan rakyat terhadap Najib tidak akan memberi manfaat besar kepada mana-mana parti pembangkang. Ini kerana rakyat menganggap mereka tidak bersedia mengantikan BN untuk mentadbir dengan lebih baik. Maka tiba pilihanraya keempat-empat kumpulan ini, khususnya kumpulan belia kali pertama mengundi dan kumpulan penyokong parti yang membentuk blok pengundi terbesar, berkemungkinan memilih memulaukan proses undi. Jangan memandang rendah kehebatan rajuk mereka! 

Jika pakatan pembangkang terus goyah seperti pasca 2008 dan 2013, adalah diminta pemimpinnya sila berhenti bercita-cita mengaut laba dari kerosakkan ciptaan Najib.

2. Adakah kerosakkan oleh Najib 'fixable' dan 'managable'?

Selepas lebih enam tahun Najib menduduki kerusi kuasa adalah adil merumuskan pentadbirannya melakukan lebih banyak kerosakkan dari kebaikan di Malaysia. BRIM, 1MDB, AES, SRCI, pengenalan GST, ketegangan kaum, kejatuhan nilai Ringgit, kelemahan ekonomi dan banyak lagi adalah sebahagian dari kerosakkan yang berlaku. Terbaharu TPPA atau Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik.

Semenjak 5 tahun lalu Najib amat berahsia memgenai kandungan TPPA. Tidak banyak maklumat yang didedahkan kepada Parlimen. Rakyat lagilah dibiarkan dalam kegelapan. Menteri-Menteri berkaitan pula kerap mengeluarkan kenyataan bercanggah, sepertimana bercanggahannya mereka tentang GST dan 1MDB.

Dilaporkan walaupon Malaysia telah menandatangani TPPA di Hawaii hujung September lalu ia bukanlah bersifat muktamad. Menteri berjanji akan membahas dan mendapatkan persetujuan Parlimen sebelum melaksanakannya. Namun tempoh berbaki sehingga perjanjian tersebut termaktub dengan sendirinya tinggal kurang 70 hari. Menteri yang sama mula berdolak dalik tentang 'bahas di Parlimen' dengan alasan keterbatasan masa. Untuk melegakan kerisauan rakyat beliau menegaskan Malaysia boleh menarik diri dari TPPA pada bila-bila masa. Persoalannya mengapa menjadikan kandungan perjanjian 'Classified' atau Rahsia jika benar boleh menarik diri bila-bila masa?

Faktor 'Classified' inilah merisaukan pakar ekonomi dan perundangan negara. Tidak mustahil ada klausa penalti berat termasuk saman syarikat asing ke atas kerajaan jika menarik diri selepas perjanjian atau klausa 'Incontestability' atau mana-mana klausa bersifat 'bias' yang bukan sahaja merugikan malah mengancam kedaulatan negara, sepertimana sebahagian perjanjian-perjanjian rentas sempadan yang lain.

Jika TPPA berjaya dilaksanakan di Malaysia dikhuatiri akan membuka pintu kepada penjajahan moden menggunakan ekonomi dan pengaruh kesatuan kuasa asing ke atas negara. Kerosakkan ini bersifat kekal dan memudaratkan rakyat dan negara untuk tempoh masa yang panjang.

Melihatkan perkembangan mutakhir ini dua faktor di atas besar kemungkinan menjadi kenyataan.

Persoalan. Apakah pembangkang mempunyai penyelesaian kepada kemungkinan tersebut? Adakah bentuk penyelesaian mereka itu bakal memberi manfaat kepada diri dan parti mereka dokongi cuma atau kepada rakyat Malaysia keseluruhan?

Dimanakah kelebihannya buat pembangkang jika berjaya merampas Putrajaya ketika kedaulatan negara suatu perdagangan dan kehebatan jawatan hanya pada nama? Ketika kuasa dan syarikat asing menentukan cara kita berpolisi dan mentadbir, ketika hutang negara menjadi barah malignant dan ketika api permusuhan antara kaum dan agama menjadi sebesar kebakaran mega Sumatera?

Tiba saat itu tiada berguna berbangga merampas kuasa dari Regim melalui kaedah 'biar rosak dahulu baiki kemudian' kerana Malaysia sudah menjadi seperti Afghanistan. Beyond repair!

No comments:

Post a Comment