Monday, October 5, 2015

Legasi Yang Memberatkan Bagasi

Guru kencing berdiri murid kencing berlari. Itulah gambaran senario mentor-mentee Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Najib Abd Razak.

Segala yang berlaku hari ini adalah legasi Dr Mahathir sewaktu menjadi PM. Tidak dinafikan legasi material Dr Mahathir seperti pembangunan infrastruktur dan kekuatan ekonomi adalah yang terhebat dalam sejarah namun legasi moral juga tidak kurang hebatnya.

Saya pernah menulis mengenai legasi moral Dr Mahathir. Baca di sini. Namun di kalangan kita tidak mahu melihatnya dengan pandangan aqal dan hati. Suatu peringatan kepada yang tidak mahu, legasi tidak berubah dengan sendirinya namun manusia mampu. Ia sedang berlaku kepada Dr Mahathir.

Wakil Rakyat hanya mengenal fungsi dan peranan mereka sebagai MEWAKILI RAKYAT sebulan dua sebelum dan selepas pilihanraya. Setelah dilantik menjadi Yang Berhormat mereka membesarkan peranan mereka sebagai Wakil Parti. Inilah masalah terbesar negara.

Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diindoktri bahawa yang membayar gaji mereka adalah parti politik. Mereka diindoktri yang memberi mereka kedudukan dalam Dewan Rakyat dan Negeri adalah Presiden parti. Mereka diindoktri sebagai YB mereka secara otomatik ada kelayakkan ke atas khazanah negara. Mereka diindoktri mereka berkuasa ke atas penjawat awam.

Indoktri tersebut menyebabkan mereka gagal mengangkat Perlembagaan Negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri lebih tinggi dari Perlembagaan parti. Mereka gagal membezakan jawatan mereka dalam kerajaan dan parti. Mereka gagal memahami kedudukan mereka yang sebenarnya adalah Hamba Rakyat bukannya Tuan hamba. Ringkasnya mereka beramal parti politik adalah kerajaan.

Mutakhir ini parti politik bercambah bagai cendawan. Parti politik membawa idea dan pendekatan sekelompok individu. Pemimpin parti mencipta dan memaksa idealogi mereka ke atas masyarakat. Malangnya kebanyakkan parti politik tidak layak menjadi pergantungan kerana tidak memenuhi keperluan majoriti masyarakat.

Apa yang masyarakat perlukan?

Majoriti masyarakat mahukan negara yang aman dan makmur, pemimpin yang jujur lagi amanah, penjawat awam yang bersih serta adil, peluang saksama dalam pendidikan dan ekonomi, jaminan keselamatan diri dan sosial, akses kemudahan infrastruktur awam yang murah tapi canggih, tawaran keperluan asasi yang berpatutan lagi berkualiti, tinggi keharmonian dan toleransi antara agama dan kaum, pengurangan kebergantungan kepada tenaga dan kuasa asing, serta negara bebas berdaulat. Pemimpin dan parti politik mana yang mahu dan mampu memenuhi keperluan tersebut?

Jika pemimpin benar-benar mengangkat nadi dan nafas masyarakat, kita akan ada tidak lebih dari 2 parti sahaja. Pertama - yang menjadikan rakyat sebagai Tuan. Kedua - yang menjadikan agama sebagai perjuangan.

Malangnya parti politik kita mengangkat agenda kaum, budaya, agama, idealogi dan pelbagai asas lain sebagai teras. Ini salah satu legasi terbesar kolonialisasi, memisahkan kesepaduan melalui rencah agama, kaum dan budaya. Pemimpin-pemimpin kita baik dari Tunku Abd Rahman hinggalah ke Najib sedar kesannya kepada negara namun tiada seorang pon yang mahu dan mampu merubahnya. Mengapa? Legasi ini memberi manfaat besar kepada penguasa berbanding rakyat. Dan Dr Mahathir telah bersubahat membiarkan racun kolonialisasi ini berpasak kukuh dikalangan masyarakat.

Dr Mahathir menlucutkan kuasa SPB Yang Di Pertuan Agong dan Sultan, mewujudkan krisis perlembagaan 1989. Beliau membenarkan Badan Eksekutif 'menjajah' Badan Kehakiman. Tun merantai kebebasan BPR (kini SPRM), SPR, SPAM dan PDRM.

Tidak hairanlah hari ini Dr Mahathir tidak mampu dan tidak boleh bersunggut selain menyalahkan dirinya di atas kepincangan yang berlaku ke atas negara. Demikianlah beliau sudah meminta maaf daripada rakyat kerana kegagalannya memilih penganti yang baik, cuma lagi belum mengakui kesilapannya mencipta 'raksasa' dan 'barah' dalam kerajaan dan jabatan awam. Ini yang memberatkan bagasi reputasinya.

Hanya ada satu cara Dr Mahathir dapat menjatuhkan Regim dan menyelamatkan negara (dan dirinya) dari kezaliman mereka, cuma beliau amat berat hati melakukannya.

No comments:

Post a Comment